KUALA LUMPUR, 12 Jul – Parti Amanah Negara (AMANAH) membidas pendirian Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berhubung penolakan parti itu yang tidak mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah ‘khemah besar’.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, pendekatan ‘khemah besar’ membawa maksud semua parti pembangkang perlu bersatu dengan matlamat utama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Khemah besar maknanya semua pembangkang bersatu dan berkerjasama. Kalau tak nak Anwar, bukan khemah besar lagilah,
“Kalau ingin kalahkan BN dan PN, semua mesti ketepikan kepentingan serta kecenderungan peribadi. Utamakan kepentingan negara,
“Kalahkan BN dan PN, itu yang utama!,” tegasnya menerusi ciapan di laman Twitternya pada Isnin.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PEJUANG, Marzuki Yahya dilaporkan berkata, meskipun PEJUANG bersetuju dengan strategi ‘khemah besar’ pembangkang, namun ia tidak boleh menerima kepimpinan Anwar.
Murzuki menjelaskan, pendekatan ‘khemah besar’ itu bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik semasa terutamanya dengan isu Pakatan Harapan (PH) yang dilihat telah membuat kesilapan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.
Pendekatan ‘khemah besar’ dikemukakan beberapa pemimpin gabungan PH bagi mengelakkan pertembungan calon sesama parti pembangkang pada PRU akan datang.-airtimes.my