KUALA LUMPUR, 17 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melancarkan Tabung Ihya’ Ramadan bagi tahun 2023M/1444H bagi mengumpul dana dan sumber kewangan membiayai program serta aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, di Masjid Khalid bin Al-Walid (MKWK) pada Jumaat.
Markas ATM memaklumkan, selain mengutip sumbangan derma dari individu dan badan korporat, program ini juga dapat meningkatkan kesedaran anggota ATM dalam membuat persediaan fizikal dan spiritual bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.
Menurut Markas ATM, pada tahun ini, MKWK telah menerima sejumlah RM13,253.60 hasil sumbangan berbentuk kupon dengan nilai minimum RM2.00 dan maksimum RM5.00 yang diagihkan kepada warga ATM di Markas ATM dan Markas Perkhidmatan Tentera Darat, Laut dan Udara.
“MKWK turut menerima sumbangan peribadi dari Md Humayun Kabir Al-Haj Hakim bernilai RM84,200.00 untuk sumbangan program bubur lambuk, iftar dan sahur di MKWK yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM97,453.60,” jelas Markas ATM dalam satu kenyataan, hari ini.
Simbolik penyerahan sumbangan terkumpul dari markas-markas perkhidmatan kepada Panglima Angkatan Tentera telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Brigedier Jeneral Ahmad Najib Othman mewakili Panglima Tentera Darat; Laksamana Muda Baharudin Wan Mohd Nor mewakili Panglima Tentera Laut dan Laksamana Muda Datuk Pahlawan Abdul Halim Shaari, Pemangku Ketua Staf Markas ATM.
Jelas Markas ATM, semua aktiviti pengimarahan yang akan dilaksanakan di MKWK melalui sumbangan yang diterima adalah bertujuan membina sifat ehsan dan taqwa dalam diri setiap warga tentera dan masyarakat awam setempat.
“Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan juga dilihat sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dalam memperkasakan pensyariatan Ibadat Puasa Ramadan yang dituntut sebagai rukun asas dalam Islam,” jelas kenyataan itu lagi.
Panglima Angkatan Tentera turut melaksanakan penyerahan sumbangan Tabung Zakat ATM sebanyak RM195,200.00 kepada Panglima dan wakil Panglima Perkhidmatan bagi tujuan pembiayaan program dan aktiviti kerohanian Masjid serta Surau ATM di kawasan tanggungjawab masing-masing yang dilaksanakan sepanjang Ramadan 2023M/1444H.
Majlis ini juga membuat penyerahan sumbangan Program Kerjasama Strategik dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Agensi-Agensi dengan ATM, iaitu Koperasi Tentera berjumlah RM 70,000.00 dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) berjumlah RM 45,000.00. -airtimes.my