Home Pertahanan dan Keselamatan HAT Tuanku Mizan perintis Quran Corner hospital ATM

HAT Tuanku Mizan perintis Quran Corner hospital ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan telah dipilih sebagai perintis pengwujudan Quran Corner di hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lain bagi membudayakan Al-Quran dalam kalangan warga ATM.

Quran Corner yang diwujudkan di hopital berkenaan adalah hasil usaha sama di antara Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan ATM melalui Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) serta Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, Quran Corner ini juga akan diteruskan ke beberapa hospital ATM yang lain serta di Wisma-wisma pegawai dan bintara ATM yang terpilih.

Beliau menjelaskan, Quran Corner ini merupakan ruang yang akan diletakkan sejumlah Al-Quran bagi tujuan ‘rehat dan rawat’ melalui pendekatan secara berinteraksi, iaitu baca, faham dan amal bersama Al-Quran.

“Dengan penganjuran program tersebut, aspek kerohanian akan dapat dipertingkatkan sekaligus menambah baik kualiti dan prestasi di tempat kerja,” katanya.

Affendi turut menyeru semua warga ATM untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan, tidak kira dari segi bacaan, penghayatan dan juga amalan seharian.

“Anggota tentera akan sentiasa bersikap dinamik dan optimis dalam mengharungi apa jua bentuk halangan sekiranya menjadikan AL-Quran sebagai santapan serta panduan seharian untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat,

“Quran Corner adalah bertujuan untuk memperkasakan dan mendekatkan warga ATM dengan Al-quran sebagai sumber rujukan utama seorang muslim terutamanya perwira dan perajurit negara,” jelas Affendi ketika merasmikan Majlis Pelancaran Quran Corner HAT Mizan dan Penyerahan Al-Quran Waqaf kepada Hospital-hospital ATM, hari ini.

Sebanyak 12,060 naskah Al-Quran sumbangan orang ramai telah disampaikan oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn.Bhd, Dato Hussamuddin Yaacub kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

5 buah hospital ATM disasarkan dalam menjayakan program berkenaan, termasuklah 94 HAT di Kem Terendak, Melaka; 96 HAT di Pangkalan TLDM, Lumut; HAT Wilayah Kota Kinabalu, Sabah dan HAT Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

HAT Tuanku Mizan telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong ke-13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 Ogos 2009, di Kuala Lumpur.

HAT berperanan sebagai penyediaan perkhidmatan perubatan, pendidikan, latihan, penyelidikan dan pembangunan perubatan yang dijalankan secara efektif oleh pasukan angkatan tentera Malaysia.- airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply