PUTRAJAYA, 26 MEI — Kelulusan pelaksanaan latihan ketenteraan melibatkan penyelarasan bersama kementerian, agensi berkaitan, pihak berkuasa berkaitan dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) sebelum sesuatu latihan dilaksanakan, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).
MKN menjelaskan bahawa proses itu terpakai bagi kawasan latihan yang diwartakan mahupun tidak diwartakan, dengan setiap permohonan perlu melalui kelulusan serta pengesahan pihak berkuasa berkaitan, termasuk JKKN yang dipengerusikan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri.
“Pelaksanaan latihan ketenteraan adalah tertakluk kepada prosedur kelulusan yang ketat serta penyelarasan bersama kementerian dan agensi berkaitan,” menurut MKN dalam kenyataan hari ini.
“Permohonan juga perlu dikemukakan dalam tempoh ditetapkan sebelum latihan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan prosedur dan sensitiviti setempat diberi perhatian sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pemilik kawasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, MKN turut menyokong komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan latihan dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara profesional, terancang serta mematuhi garis panduan, prosedur operasi dan ketetapan pihak berkuasa, termasuk aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Semua prosedur operasi standard berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa.
“Penilaian pasca-latihan juga akan dilaksanakan bagi meneliti keberkesanan pelaksanaan, mengesahkan sebarang impak yang berlaku serta memastikan peruntukan dan tanggungjawab berkaitan kerja pembaikan terhadap sebarang kerosakan ditetapkan dengan sewajarnya,” katanya.
Ujarnya, kesiapsiagaan pertahanan perlu terus dipelihara bagi menjaga kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Pada masa sama, keseimbangan antara keperluan operasi pertahanan dan sensitiviti setempat perlu diberi perhatian melalui libat urus serta penyelarasan berterusan bersama pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, latihan ketenteraan dilaksanakan melalui kerjasama ATM, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti ketenteraan berjalan secara tersusun dan selamat, menurut kenyataan itu. -airtimes.my
