WASHINGTON, 26 JAN – Amerika Syarikat secara rasmi mengalihkan keutamaan strategi ketenteraannya ke arah China dan Indo Pasifik. Pada masa yang sama, negara kuasa besar itu turut menuntut Eropah memikul tanggungjawab terhadap keselamatan rantau mereka sendiri.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak Jabatan Perang Amerika Syarikat (U.S Department of War) dalam dokumen National Defense Strategy 2026 yang dikeluarkan pada 23 Januari lalu.
Dokumen strategik itu menggariskan perubahan ketara dalam pendekatan pertahanan Amerika Syarikat, dengan China dilihat sebagai cabaran keselamatan paling kritikal kepada kepentingan nasional, ekonomi global serta kestabilan antarabangsa dalam dekad akan datang.
Dalam strategi baharu itu, Washington menegaskan bahawa tumpuan utama ketenteraan Amerika Syarikat kini adalah mempertahankan tanah air serta menghalang sebarang percubaan pihak luar daripada menguasai Indo Pasifik, rantau yang dijangka merangkumi lebih separuh ekonomi global dalam masa terdekat.
Penilaian tersebut dibuat berdasarkan kebangkitan ketenteraan China yang digambarkan berlaku pada skala kelajuan dan kualiti luar biasa berbanding era sebelumnya.
Dokumen itu menyatakan situasi ini sekali gus memberi implikasi langsung terhadap keselamatan dan kemakmuran Amerika Syarikat.
“Kelajuan, skala serta kualiti peningkatan ketenteraan China yang luar biasa merupakan cabaran paling besar terhadap keselamatan, kebebasan dan kemakmuran Amerika Syarikat,” menurut dokumen setebal 34 muka surat itu.
Pembangunan pesat Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) merangkumi peningkatan keupayaan operasi jarak jauh, sistem serangan konvensional serta nuklear. Selain itu, dokumen National Defense Strategy 2026 turut menyatakan peluasan kehadiran ketenteraan China di kawasan perairan strategik.
Menurutnya, keupayaan ini dilihat berpotensi mencabar kebebasan pelayaran dan akses ekonomi Amerika Syarikat serta sekutunya.
Sebagai tindak balas, dokumen tersebut menekankan konsep pencegahan melalui penafian, iaitu pendekatan menghalang pencerobohan dengan memastikan pihak lawan menyedari bahawa sebarang tindakan agresif tidak akan mencapai objektif ketenteraan atau matlamat strategiknya.
Pendekatan ini diterjemahkan melalui pembinaan pertahanan berlapis di sepanjang Rantaian Pulau Pertama (First Island Chain, FIC). Strategi ini melibatkan penempatan aset ketenteraan, peningkatan kesiapsiagaan bersama sekutu serta keupayaan serangan balas sekiranya diperlukan.
Pada masa sama, dokumen itu menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk berkonfrontasi secara terbuka dengan China. Washington sebaliknya menyasarkan keseimbangan kuasa yang membolehkan keamanan dikekalkan, sambil memastikan kedudukan rundingan diplomatik sentiasa disokong oleh kekuatan ketenteraan yang berwibawa.
‘Eropah perlu bertanggungjawab terhadap pertahanan dirinya sendiri’
Peralihan fokus ke Indo Pasifik ini turut membawa implikasi besar terhadap peranan Amerika Syarikat di Eropah. National Defense Strategy 2026 menyatakan bahawa ancaman Rusia terhadap Eropah kekal berterusan tetapi boleh diurus, khususnya sekiranya negara-negara Eropah memanfaatkan kelebihan ekonomi, industri serta demografi mereka sendiri.
Dokumen tersebut secara jelas menggesa Eropah mengambil tanggungjawab utama terhadap pertahanan konvensional benua itu, dengan peranan Amerika Syarikat dihadkan kepada sokongan yang kritikal tetapi terhad.
“Eropah mesti memikul tanggungjawab utama terhadap pertahanan konvensionalnya sendiri,
“Amerika Syarikat (akan) menyediakan sokongan yang penting tetapi terhad,” menurut dokumen strategi pertahanan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perubahan ini, Washington menetapkan standard baharu perbelanjaan pertahanan kepada sekutu, iaitu 5% daripada keluaran dalam negara kasar. Daripada jumlah itu, 3.5% diperuntukkan untuk keupayaan ketenteraan teras, manakala baki 1.5% bagi perbelanjaan berkaitan keselamatan.
Pentadbiran Amerika Syarikat menegaskan bahawa pendekatan ini bukan bertujuan melemahkan pakatan sedia ada. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan sekutu berfungsi sebagai rakan setara yang mampu mempertahankan kepentingan sendiri, bukan bergantung sepenuhnya kepada kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat.
Strategi tersebut turut mengaitkan perubahan ini dengan risiko konflik serentak di pelbagai rantau. Dokumen itu memberi amaran bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya perlu bersedia menghadapi senario di mana beberapa pihak lawan bertindak secara serentak, sama ada melalui penyelarasan atau eksploitasi kelemahan pakatan pertahanan. – airtimes.my
