KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada agensi-agensi keselamatan luar negara bagi mengesahkan laporan serta dakwaan berhubung 2 rakyat Malaysia terlibat dengan Daesh telah ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini polis tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti Daesh di Afghanistan.
“Siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut, melibatkan pejuang Daesh warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan 2 rakyat Malaysia antara 6 individu yang ditahan pihak berkuasa Taliban kerana terlibat dalam pertempuran bersenjaya di Kabul, Afghanistan.
Menurut laporan berita itu, soal siasat sedang dijalankan pihak berkuasa Taliban terhadap 2 warga Malaysia yang berjuang bersama IS-K, sebuah sayap kumpulan pengganas Daesh. – airtimes.my