BUTTERWORTH, 24 Jul – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengambil bahagian dalam Eksesais Pitch Black 2018 buat kali kedua selepas tahun 2008. Latihan tersebut akan diadakan mulai 27 Julai sehingga 17 Ogos 2018 di Darwin, Australia. Eksesais Pitch Black merupakan salah satu latihan tempur udara yang utama dan terbesar di dunia.
Aset-aset TUDM yang terlibat dalam penyertaan pertama pada 2008 adalah 6 buah pesawat F/A-18D Hornet dari No 18 Skuadron dan satu kapal tangki mengisi minyak KC-130H dari No 20 Skuadron. Penyertaan pada ketika itu melibatkan kira-kira lebih 100 pegawai dan anggota.
Majlis penghantaran para peserta Eksesais Pitch Black 2018 ini telah disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib bin Datuk Haji Ab Wahab di Pangkalan Udara Butterworth pagi tadi.
Pada tahun ini seramai 40 pegawai dan 78 anggota terlibat dalam latihan tersebut. Pesawat terlibat adalah 5 buah pesawat F/A-18D dari No 18 Skuadron dan sebuah pesawat A400M dari No 22 Skuadron.
Komander Detasmen eksesais kali ini diketuai oleh Pegawai Memerintah No 18 Skn, Kolonel Koey Tan Chai TUDM.
Eksesais dwi-tahunan ini yang dilaksanakan selama tiga minggu merupakan eksesais gabungan yang membabitkan penglibatan dari pelbagai negara yang dikendalikan secara berpusat di Pangkalan Udara Royal Australia Air Force Darwin dan Tindal.