KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengesyaki bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Hamid disabotaj orang bawahannya apabila wujud surat ditulis kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) bagi meminta bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk kerajaan BN.
Lokman berkata, beliau mendapat maklumat kononnya Hasanah tidak bersalah, sebaliknya ada pihak lain menganiayainya.
“Saya (dapat) maklumat daripada belah dia (Hasanah) yang mengatakan bahawa orang bawah dia yang mainkan dia,” katanya ketika ditemui media di Taman Botani Perdana dalam acara berkelah bersama Najib sempena Merdeka ke-61.
Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu itu mengingatkan, sekiranya benar Hasanah memang menulis surat bagi meminta bantuan CIA, ia satu kesalahan yang berat.
Kata Lokman, pihak berkuasa wajar menyiasat bekas pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) itu mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah.
“Bagi saya kalau ketua perisik tulis surat kepada CIA itu adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
“Tapi kita harap pihak berkuasa siasat, kalau betullah memang dia sengaja menulis surat itu, kita kena ambil tindakan.
“Kita tak boleh bertoleransi dengan mana-mana pengkhianat negara,” katanya.
Lokman berkata demikian apabila ditanya mengenai surat yang memaparkan tandatangan Hasanah kepada CIA untuk meminta AS memberi sokongan kepada Najib jika BN menang tipis dalam PRU14 lalu.
Hasanah kemudian menjelaskan kepada media, surat tersebut tiada kena-mengena dengan Najib.
Sementara itu, Lokman berkata mana-mana pihak tidak boleh mengharap bantuan luar bagi mendapatkan kuasa.
Ditanya surat sokongan itu ditulis bagi mengharap sokongan Najib, Lokman berkata, bullshit (mengarut) dan teruk.
Menurutnya, adalah tidak wajar meminta bantuan kerajaan atau badan luar negara untuk membantu Malaysia.
“Najib seorang gentleman, beliau serah kuasa dengan baik tanpa termakan hasutan untuk buat kudeta mahupun darurat,” jelasnya.