SEMENYIH, 6 MEI 2026 – Keupayaan Cendana Auto Sdn. Bhd. (CASB) dalam membangunkan produk automotif dan pertahanan tempatan menjadi fokus lawatan delegasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menyokong penilaian Sijil Logo Barangan Malaysia.
CASB dalam kenyataan berkata, lawatan melibatkan 19 anggota delegasi itu turut meneliti peranan syarikat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi serta pembangunan tenaga kerja tempatan.
“Delegasi turut dimaklumkan mengenai komitmen syarikat dalam pembangunan teknologi tempatan serta usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” menurut kenyataan itu.
Menurut CASB, delegasi turut diberi taklimat mengenai keupayaan syarikat dalam reka bentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain penyelesaian telekomunikasi pertahanan.
Antara produk yang dibentangkan ialah kenderaan taktikal 4×4 bagi pelbagai peranan operasi, pelancar grenad asap, sistem pemasangan senjata dan sistem pengurusan kuasa yang dibangunkan melalui keupayaan R&D dalaman.
Syarikat itu memaklumkan, CASB mempunyai Lesen Pembuatan, pensijilan ISO 9001:2015 serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan bagi aktiviti reka bentuk, pembuatan, MRO dan penyelesaian telekomunikasi pertahanan.
CASB yang ditubuhkan pada 2013 turut disokong 168 tenaga kerja tempatan terdiri daripada pekerja mahir dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk melalui kerjasama bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Menurut kenyataan itu, syarikat turut bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi bagi penyelidikan bersama, latihan industri dan pembangunan kurikulum berorientasikan keperluan industri.
Selain pembangunan produk tempatan, syarikat itu turut terlibat dalam kerjasama antarabangsa melibatkan pemindahan teknologi serta program pemodenan dan lanjutan hayat aset pertahanan negara.
Lawatan berkenaan turut dikaitkan dengan sokongan kementerian terhadap penganugerahan Sijil Logo Barangan Malaysia kepada CASB sebagai pengiktirafan terhadap produk tempatan. – airtimes.my
