[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=mpdLbp4gKns[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menggempur Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Cochrane dan berjaya menyelamatkan tebusan dalam satu latihan akhir Eksesais MANTIS (Eks MANTIS) Siri 8/2022, awal pagi tadi.
Eksesais ini merupakan kerjasama bilateral pertahanan di antara TDM dan Angkatan Tentera Kanada (CAF) sebagai Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan, Rapid Rail Sdn Bhd.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Ab Rahman berkata, eksesais ini adalah merupakan yang kedua kali iaitu melaksanakan latihan di stesen MRT.
“Eksesais MANTIS Siri 8/2022 melibatkan pasukan Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) bagi pelaksanaan Chemical Biological Radiological Nuclear and Explosive (CBRNe) bersama Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM) CAF,
“Eksesais bilateral ini turut disertai pasukan 21 Grup Gerakhas (21 GGK) dan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya kepada pemberita selepas latihan tersebut.
Menurutnya, konsep eksesais ini adalah mensasarkan operasi melawan keganasan dalam situasi ancaman CBRNe di stesen keretapi bawah tanah dan tempat parkir kenderaan bagi menguji tahap kesiapsiagaan staf MRT serta membantu mencapai Key Performance Indicator (KPI) berkaitan Safety and Security.
“Eksesais sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28, iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan,
“Turut berkolaborasi dalam eksesais ini ialah PDRM serta JBPM,” jelasnya.
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeian Jantan, Presiden Group CEO Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah, Komander Jurutera Medan Barat (KJMB), Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa dan Penasihat Pertahanan Kanada, Leftenan Kolonel Jason King.
Terdahulu, konsep eksesais yang sama telah dilaksanakan di Stesen MRT Maluri pada tahun 2018. – airtimes.my
Galeri gambar: