KUANTAN, 25 SEPT – Fasa laut Eksesais Bersama Lima 2025 (BL25) telah pun bermula selepas selesai fasa pelabuhan yang dilaksanakan di Kuantan.
Latihan multinasional secara tahunan ini melibatkan kerjasama erat lima negara anggota Five Power Defence Arrangements (FPDA) iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.
Eksesais BL25 telah dilancarkan secara rasmi pada 19 September di Pusat Peperangan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama.
Latihan ini akan berlangsung sehingga 6 Oktober dan merangkumi kawasan darat, udara serta perairan Semenanjung Malaysia dan Singapura, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai latihan ini melalui penglibatan KD Lekir dan KD Sri Indera Sakti, sebagai bukti komitmen berterusan dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan maritim serantau serta meningkatkan keupayaan beroperasi bersama rakan FPDA.

Frigat kelas Anzac HMAS Ballarat milik Australia berlabuh di Kuantan (FOTO: DEFENCE.GOV.AU)
Menurut Markas Angkatan Bersama, BL25 melibatkan 2,120 anggota tentera dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan, 10 kapal perang, 60 pesawat udara pelbagai jenis dan empat sistem pertahanan udara.
Latihan diketuai oleh Pengarah Eksesais BL25, Timbalan Panglima Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM, Laksamana Pertama Ahmad Sapuan Fathi Muhammad.
Sementera itu, Australia mengerahkan kira-kira 400 anggota Angkatan Pertahanan Australia, pesawat pejuang F-35A Lightning II serta frigat kelas Anzac HMAS Ballarat.
United Kingdom pula menghantar kumpulan tempur kapal pengangkut (Carrier Strike Group) untuk menyertai latihan berprofil tinggi ini.
Selain latihan peperangan udara, laut dan darat, BL25 turut menekankan aspek bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, di samping aktiviti sukan serta keterlibatan masyarakat untuk memperkukuh hubungan rakyat-ke-rakyat. – airtimes.my
#airtimes #BL25 #FPDA #TLDM #Malaysia #Singapura #Australia #NewZealand #UnitedKingdom #pertahanan
