KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) melakar sejarah apabila melancarkan lagu khas sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-67 yang jatuh pada hari ini.
Lagu Citra Wira Merah merupakan cetusan idea daripada Brigedier Jeneral Abdul Wahab Geoh pada April lalu. Lagu ini adalah rentetan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19 yang membataskan pergerakan dan pelaksanaan norma baru di dalam semua aktiviti.
Citra Wira Merah bermaksud cerita (citra) Polis Tentera (Wira Merah), seni kata lagu ini menggambarkan keterampilan anggota KPTD yang gagah dan penuh dedikasi serta integriti demi menunaikan amanah yang dipikul sebagai warga Polis Tentera walau terpaksa berkorban serta berpisah dengan keluarga yang tercinta.
Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Datuk Mislan Anuar berkata, lagu Citra Wira Merah mendapat sentuhan keseluruhannya dari semua warga KPTD iaitu dari penciptaan lagu, lirik, susunan muzik dan penyanyi.
“Saya juga ingin merakam jutaan terima kasih kepada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) yang tidak jemu membantu dan memberi khidmat bermula dari penggunaan studio untuk rakaman lagu, penggambaran video muzik dan promosi majlis pelancaran muzik video pada hari ini,
“Dengan kerjasama yang jitu dari semua pihak maka terlahirlah lagu yang indah ini,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan HUT KPTD ke-67 di Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Kem Genting Klang, hari ini.
Beliau berharap semua warga KPTD dapat menghayati lirik lagu yang berbentuk nasihat dalam melaksanakan tugas seharian sebagai seorang anggota KPTD.
“Mesej yang ingin disampaikan melalui lagu Citra Wira Merah ini pertamanya adalah mendidik semua warga KPTD bagi melaksanakan tugas dengan penuh komited,
“Keduanya adalah membina kesatuan dan rasa bangga di atas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan di kalangan warga KPTD,
“Seterusnya adalah menzahirkan imej positif KPTD kepada warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dan masyarakat umumnya dan terakhirnya semua penugasan yang dilakukan perlu dengan keikhlasan,
“Secara tidak langsung ia akan dapat memberi gambaran sebenar peranan dan tugas KPTD sebagai sebahagian ketumbukan TDM,” tambahnya.
Sambutan Hari Ulang Tahun KPTD pada tahun ini tidak disambut seperti tradisinya melalui perbarisan rejimental di padang kawad berikutan penularan wabak pandemik COVID-19. Namun ia disambut dengan norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan ia dapat disaksikan secara maya oleh warga KPTD.
Pengerusi KPTD juga mengadakan sesi berinteraksi bersama Pegawai Memerintah di setiap penempatan semasa majlis ini.
Turut hadir, Provos Marsyal Tentera Darat, Brigedier Jeneral Azman @Norazman Selamat, Pengarah KPTD, Kolonel Muhamad Rafi Abdul Kadir serta Pegawai-Pegawai Kanan KPTD.- airtimes.my