KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mengesa kerajaan agar pihak yang terlibat dengan salah laku perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LSC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke muka pengadilan dengan kadar segera.
Beliau turut berkata, semua pesalah yang terbabit di dalam skandal perolehan LCS ini tidak harus dilindungi di atas apa-apa kepentingan politik semata-mata.
“Saya mohon jaminan dari kerajaan, semua semua pesalah yang terbabit di dalam skandal LCS ini tidak akan dilindungi di atas apa-apa kepentingan politik semata-mata dan akan dihadapkan ke Mahkamah Pengadilan sesegera mungkin,
“Isu ini besar, melibatkan RM6 bilion duit rakyat. Saya harap ia dapat diselesaikan,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Awang turut menjelaskan, isu kelewatan ini juga akan mendedahkan kelemahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada angkatan negara-negara jiran.
“Menteri Pertahanan, kita jangan lindung benda-benda macam ini. Tidak kira siapa pun yang terlibat. Sebab ini melibatkan satu jumlah duit yang besar dan juga kelengkapan peperangan yang boleh mendedahkan kelemahan ATM,
“Jadi kita jangan buat main-main dengan keselamatan negara ini,” tegasnya lagi. -airtimes.my