CHONBURI, 27 OGOS – Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih berkira-kira untuk mendapatkan sistem artileri mudah gerak (SP howitzer), negara jiran Thailand melangkah jauh apabila menggandakan aset tersebut.
Terbaru, Kor Marin Diraja Thailand telah menerima enam buah Meriam Medan Bergerak Beroda (ATMG) kaliber 155mm ATMOS yang diserahkan dalam satu upacara di markas pasukan itu di Sattahip, Chonburi pada 21 Ogos lalu.
Ini merupakan perolehan tambahan kepada enam buah ATMG sedia ada yang mana pesanan enam meriam baharu ini dibuat pada tahun 2021.
Meriam-meriam ini dioperasikan sebagai sebahagian daripada ketumbukan Pemerintahan Pertahanan Udara dan Pantai (Air and Coastal Defense Command – ACDC) iaitu salah satu cabang di bawah Tentera Laut Diraja Thailand (RTN).
ACDC bertanggungjawab dalam soal pertahanan pantai dan pertahanan udara.

Meriam Medan Bergerak Beroda (ATMG) kaliber 155mm ATMOS
Ia terdiri daripada Rejimen Pertahanan Pantai Pertama dengan tiga batalion artileri. Misi utama adalah untuk mempertahankan pantai timur dan selatan serta projek pembangunan penting.
Perolehan sistem ATMG ini merupakan sebahagian penting daripada dasar Panglima Tentera Laut Thailand dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ia bertujuan meningkatkan keupayaan berdikari dalam perolehan peralatan ketenteraan serta mengurangkan kebergantungan kepada import dari luar negara.
Projek ini merupakan langkah penting ke arah pembangunan industri pertahanan dalam negara yang bukan sahaja untuk menyokong kekuatan tempur utama tentera laut.
Sebaliknya, berpotensi dibangunkan untuk kemajuan komersial dan industri.

ATMOS ini mempunyai jarak tembakan melebihi 40 kilometer dan kadar tembakan sebanyak enam peluru seminit
Sistem ATMG 155mm ini terdiri daripada enam meriam untuk satu bateri, sistem kawalan tembakan automatik, radar cuaca, alat ganti, serta peralatan berkaitan yang lain.
Sistem ini dihasilkan di Thailand melalui kerjasama antara Pusat Pembuatan Senjata Thailand dan syarikat Elbit Systems dari Israel.
Meriam ATMOS ini dipasang pada casis trak Tatra 6×6 buatan Republik Czech.
Meriam ini mempunyai jarak tembakan melebihi 40 kilometer dan kadar tembakan sebanyak enam peluru seminit.
Sepertimana diketahui, Tentera Darat Diraja Thailand merupakan pengguna sistem artileri SP ATMOS buatan Israel dengan 24 buah meriam dimiliki kesemuanya.
Meriam baharu ini akan meningkatkan keupayaan RTN dalam melindungi serta mempertahankan kedaulatan negara di daratan.

Meriam ATMOS dipasang pada casis trak Tatra 6×6 buatan Republik Czech
Perolehan ini merupakan sebahagian daripada komitmen belanjawan selama tiga tahun dari tahun fiskal 2023 hingga 2025, dengan jumlah peruntukan sebanyak AS$28.6 juta (Baht$929,486,100).
Pusat Pembuatan Senjata di bawah Pusat Industri Pertahanan dan Tenaga Tentera Thailand telah ditugaskan untuk mengurus perolehan serta penyaluran bajet bagi pihak RTN.
Kejayaan penyempurnaan projek ini, termasuk semua ujian kontrak dan latihan anggota merupakan satu pencapaian penting dalam mencerminkan peningkatan keupayaan Thailand untuk berdikari bagi penghasilan persenjataan.
Ini bermakna berlaku proses pemindahan teknologi dan bantuan teknikal melalui kerjasama strategik industri pertahanan Thailand bersama Elbit.
Thailand sejak 2015 telah melakukan kerjasama industri dengan Elbit bagi pembangunan dan pemasangan meriam-meriam ini dalam negara.
Selain itu, Thailand juga memiliki enam buah sistem artileri SP Caesar buatan Perancis.
#ATMOS #ATMGÂ #Artileri #Thailand
