BERLIN, 11 Jun – Canselor Jerman, Angela Merkel menyuarakan kekecewaan beliau apabila kenyataan akhir Sidang G7 tidak dicapai. Perkara tersebut berlaku apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump enggan menandatangani kenyataan akhir pada sidang tersebut.
Sebelum itu, Donald Trump telah mengarahkan wakilnya untuk tidak menerima kenyataan akhir Sidang G7, beberapa jam selepas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan bahawa kesemua wakil negara yang bersidang telah mencapai kata sepakat.
“Keengganan Donald Trump untuk menandatangani kenyataan akhir persidangan yang dinyatakan melalui Twitter adalah sesuatu yang mengecewakan,” kata Angela Merkel yang dipetik oleh ARD TV.
Angela Merkel menyuarakan sokongan beliau terhadap dokumen tersebut. Namun begitu, beliau turut menyatakan Jerman akan tetap berdialog dengan Jerman.
“Tiada sebab untuk kami (Jerman dan Amerika Syarikat) untuk terus dingin,” kata Merkel. Beliau dijadualkan untuk bersidang dengan Donald Trump sekali lagi pada persidangan NATO di Brussels pada Julai kelak.
Beliau turut menyifatkan Trump memandang rendah akan kepentingan kerjasama antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
“Ini sekaligus memperkukuhkan lagi kepercayaan saya bahawa masyarakat Eropah perlu menentukan nasib mereka oleh diri sendiri,” kata Merkel.
Beliau bertegas, isu yang timbul antara Donald Trump dan Eropah tidak bermakna kerjasama antara kedua benua Atlantik itu akan berakhir.