KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Negara-negara ASEAN bersetuju bahawa keselamatan serantau adalah tanggungjawab kolektif yang memerlukan kerjasama erat antara negara anggota. Kesepakatan itu dicapai dalam Mesyuarat Operasi Ketenteraan ASEAN ke-15 (15th AMOM) yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 September.
Bertemakan “ASEAN: Inclusivity and Sustainability”, mesyuarat kali ini menekankan amanah bersama negara anggota dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks. Delegasi sebulat suara menyokong usaha memperkukuh koordinasi ketenteraan sebagai langkah meningkatkan daya tahan strategik ASEAN.
Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, mesyuarat turut membincangkan perancangan aktiviti ketenteraan ASEAN bagi tahun 2026–2027 sebagai usaha memupuk semangat kebersamaan dalam menghadapi isu-isu keselamatan.
“Sepanjang persidangan, para delegasi sepakat bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dan kerjasama serantau perlu terus diperkukuh. Mesyuarat turut membincangkan perancangan aktiviti ketenteraan ASEAN bagi tahun 2026–2027 sebagai usaha memupuk semangat kebersamaan dalam menghadapi isu-isu keselamatan,” menurut kenyataan berkenaan.
Kesemua resolusi yang dicapai sepanjang persidangan ini akan dibentangkan pada Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (22nd ACDFM) yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September, turut diadakan di Kuala Lumpur.

Delegasi 10 negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam yang hadir bagi menghadiri Mesyuarat Operasi Ketenteraan ASEAN ke-15 (FOTO: MARKAS ATM)
Mengulas lanjut, ATM menegaskan, penganjuran AMOM-15 bukan sahaja penting bagi mengangkat peranan Malaysia sebagai rakan strategik dan pemacu diplomasi pertahanan ASEAN.
Malah, ia memperkukuh keupayaan kolektif rantau ini serta membina asas saling kepercayaan demi menjamin kestabilan dan keamanan jangka panjang menghadapi cabaran abad ke-21.
Terdahulu, AMOM-15 menghimpunkan kesemua 10 negara anggota ASEAN termasuk Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam. Ketibaan para delegasi disambut oleh Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin.
Mesyuarat turut dihadiri pegawai kanan tentera dari negara anggota, antaranya Kolonel Pengiran Noor Rumaizi Pengiran Othman (Brunei), Mejar Jeneral Nim Balene (Kemboja), Air First Marshal M. Taufiq Arasj (Indonesia), Brigedier Jeneral Thongsamay Soukpaseut (Laos), Leftenan Jeneral Than Htike (Myanmar), Mejar Jeneral Elmer B. Suderio (Filipina), Brigedier Jeneral Letchumanan Narayanan (Singapura), Leftenan Jeneral Jakkapong Janpengpen (Thailand), serta Leftenan Jeneral Nguyen Huy Canh (Vietnam).
#airtimes #pertahanan #ASEAN #AMOM15 #Malaysia #ketenteraan #keselamatan
