KUALA LUMPUR, 12 Jul – Media Tentera Rakyat (MTR) mendesak kerajaan agar wanita Muslim yang sengaja mempersendakan agama Islam dengan membuka pakaian di sebuah kelab komedi baru-baru ini dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Penasihat Kehormat MTR, Datuk Mohd Ali Baharom mencadangkan agar wanita berkenaan dikenakan hukuman yang berat dan setimpal dengan kesalahannya agar menjadi tauladan serta peringatan kepada mereka yang sengaja ingin menimbulkan kemarahan kaum lain di Malaysia.
Beliau berkata, video tular wanita di kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail itu telah sengaja dilakukan dengan niat untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu dan umat Islam.
“Apakah tujuan wanita berkenaan bertindak sedemikian? Adakah mereka dibayar?
“Mereka datang untuk bersuka-ria dan berhibur, tetapi sebaliknya wanita berkenaan mengeluarkan kenyataan serta tindakan sehingga mengaibkan Agama Islam,
“Masyarakat Melayu marah dengan kebiadapan, keangkuhan wanita Melayu ini yang mengatakan telah menghafal 15 juzuk, seterusnya membuka tudung dan baju di hadapan penonton,
“Kami harap pihak berkuasa menyiasat dan menahan serta dijatuhkan hukuman seberatnya, termasuk juga dengan pihak tuan punya kelab untuk kebaikan di masa hadapan,” jelasnya kepada pemberita ketika di temui di hadapan Crackhouse Comedy Club (CH), hari ini.
Mohd Ali yang juga dikenali sebagai Ali Tinju turut menegaskan agar pihak kerajaan tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan seperti ini yang menjadi pentas untuk menghina kaum lain di Malaysia.
“Pihak kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan pihak-pihak begini, sepatutnya kelab ini diharamkan dan ditutup serta merta,
“Sepatutnya premis ini tidak dibenarkan beroperasi. Maruah orang Melayu dan Islam hendaklah dipertahankan,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar pihak kerajaan membuat semula semakan terhadap undang-undang berkaitan kes seperti ini.
“Kehadiran kami adalah untuk mempertahankan maruah orang Melayu, jika dicabar dan dihina kami akan bangkit,
“Pihak kerajaan harus lihat kembali dan mengemas kini undang-undang sedia ada untuk masa hadapan. Kami tidak mahu orang Melayu hina orang Melayu, orang India hina org Melayu pula selepas ini,
“Di Malaysia semua kaum harus hormat-menghormati sesama agama, bukan sesuka hati mengeluarkan kenyataan dan membuat tindakan sehingga menghina agama lain,” tambahnya.
Sementara itu, Exco MTR, Zailani Isa menyifatkan perkara tersebut dilakukan dengan sengaja untuk membangkitkan kemarahan masyarakat dan menimbulkan keresahan umat Islam.
“Ini orang Melayu hina Melayu, lepas ini orang India pula dan kemudian orang Cina. Kalau dibiarkan negara kita akan kucar-kacir dengan perbuatan yang tidak berfaedah,” ujarnya.
Tegasnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkuasa perlu lebih menjalankan pemantauan terhadap premis-premis yang menjalankan perniagaan seperti ini.
“Kami berharap PBT di Malaysia yang berkuasa atas lesen-lesen ini, buatla kerja, pantau semua premis yang menjalankan perniagaan. Adakah mereka mematuhi peraturan atau sebaliknya?,
“Pihak berkuasa, Menteri Agama sudah ambil maklum dan MTR risau bangkinya amarah orang-orang Melayu dan ia suatu yang merugikan,
“Perkara sekecil ini perlu diselesaikan dengan baik, kalau tidak diselesaikan bimbang akan berlaku keganasan yang lain,
“Walaupun dilihat sebagai perkara terpencil, namun pihak kerajaan perlu mencegah supaya tidak menjadi virus sehingga memporak-perandakan keamanan negara,” tegasnya.
Sabtu lalu, negara dikejutkan dengan video tular wanita Muslim yang berasal dari Kuala Kangsar, menghina agama Islam sewaktu membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Ibu Kota.
Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.
Wanita itu telah ditahan pihak polis pada Sabtu dan direman selama 3 hari bermula Ahad.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilaporkan menjalankan siasatan awal berhubung video berkenaan yang didakwa menghina agama Islam.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu menghina atau menyebabkan penghinaan terhadap Islam adalah satu kesalahan.
Sekiranya didapati bersalah boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga 2 tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. -airtimes.my