Dalam era teknologi yang pesat membangun, aspek keselamatan kini menuntut pendekatan lebih holistik dan canggih. Ancaman bukan lagi hanya dari darat atau laut, malah kini turut datang dari udara menerusi penggunaan pesawat tanpa pemandu atau dron.
Dron yang suatu ketika dahulu hanya digunakan untuk pemantauan atau fotografi kini telah berkembang menjadi aset taktikal berbahaya. Ia mampu digunakan untuk tujuan pengintipan, sabotaj, malah melancarkan serangan bersenjata.
Menyedari cabaran ini, satu sistem pertahanan baharu dikenali sebagai Counter-Unmanned Aircraft System (Counter-UAS) diperkenalkan. Sistem ini berperanan penting dalam mempertahankan ruang udara daripada ancaman yang semakin sukar dikesan.

Anggota pasukan khas dilengkapi senjata gangguan isyarat (RF jamming gun) bersedia menghadapi ancaman dron dalam persekitaran ekstrem, menonjolkan fleksibiliti sistem Counter-UAS dalam pelbagai medan operasi. Foto: DroneShield
Apa Itu Counter-UAS?
Secara ringkas, Counter-UAS merujuk kepada rangkaian teknologi, sistem dan prosedur yang dibangunkan khusus untuk mengesan, mengenal pasti, menjejak dan meneutralkan dron berpotensi mengancam keselamatan.
Sistem ini tidak hanya bergantung kepada satu teknologi semata-mata, tetapi merangkumi gabungan pelbagai sensor dan peralatan yang berfungsi secara bersepadu untuk memberi perlindungan menyeluruh.
Antara teknologi utama yang digunakan dalam sistem Counter-UAS termasuklah radar mini yang berupaya mengesan objek bersaiz kecil dari jarak jauh, sensor elektro-optikal dan inframerah bagi tujuan pengesanan visual serta haba, dan sensor frekuensi radio (RF) yang digunakan untuk mengenal pasti isyarat komunikasi antara dron dan pengendalinya.
Melalui gabungan dan analisis data yang diperoleh daripada pelbagai sensor ini, sistem Counter-UAS mampu menentukan lokasi, arah pergerakan, serta tahap ancaman yang dibawa oleh sesebuah dron.
Bukan sekadar pengesan, tetapi penyerang
Apabila sesebuah dron dikenal pasti membawa risiko kepada keselamatan, sistem Counter-UAS akan mengaktifkan tindakan balas yang bersesuaian bergantung kepada tahap ancaman.
Antara kaedah tindak balas yang digunakan termasuklah senjata tenaga arah seperti laser yang mampu memusnahkan dron dengan ketepatan tinggi, serta gangguan isyarat (jamming) yang berfungsi menyekat komunikasi antara dron dan pengendalinya.
Di samping itu, terdapat juga penggunaan peluru berpandu mikro yang direka khas untuk menjatuhkan dron secara fizikal, selain keupayaan untuk mengambil alih kawalan dron secara elektronik, sekali gus memaksa ia mendarat dengan selamat di lokasi yang ditentukan.

Sistem sensor dan radar mudah alih digunakan di kawasan lapangan terbang untuk mengesan kehadiran dron yang boleh mengganggu operasi penerbangan atau mencetuskan ancaman keselamatan. Foto: Leornado UK
Jenis-Jenis Counter-UASÂ
Pada masa kini, pelbagai sistem Counter-UAS telah dibangunkan dan digunakan secara meluas di seluruh dunia bagi menangani ancaman dron.
Antara sistem yang menonjol ialah DroneShield, iaitu sistem mudah alih yang menggabungkan teknologi radar, sensor akustik dan jamming RF dalam satu platform yang sesuai digunakan di kawasan dengan pelbagai bentuk muka bumi.
Selain itu, Leonardo Falcon Shield merupakan satu sistem modular dari Eropah yang menyediakan perlindungan strategik dengan keupayaan gangguan serta pemusnahan sasaran secara tersuai mengikut misi.
Raytheon High Energy Laser Weapon System pula menggunakan teknologi laser berkuasa tinggi untuk memusnahkan dron secara fizikal dengan ketepatan dan kecepatan tinggi.

Platform Stryker dengan sistem Counter-UAS dipasang – antara aset pertahanan mobiliti tinggi yang dilengkapi pelbagai teknologi pengesanan dan pemusnahan dron dalam operasi ketenteraan. Foto: Leonardo DRS
Kepentingan sistem Counter-UASÂ
Kepentingan sistem Counter-UAS semakin ketara dalam pelbagai sektor, bukan hanya terhad kepada kegunaan ketenteraan. Di kawasan ketenteraan, sistem ini memainkan peranan penting dalam menghalang serangan pengintipan serta menangkis ancaman daripada dron bersenjata bersaiz kecil yang sering kali sukar dikesan oleh radar konvensional.
Manakala di lapangan terbang, Counter-UAS membantu mengelakkan gangguan terhadap operasi penerbangan komersial yang boleh mengancam keselamatan penumpang dan kru.
Counter-UAS bukan sekadar satu teknologi canggih, tetapi kini menjadi benteng utama dalam memastikan keselamatan ruang udara negara. Dengan integrasi radar pintar, analisis isyarat dan sistem senjata berteknologi tinggi, Counter-UAS melengkapkan pertahanan kita menghadapi ancaman yang tidak kelihatan tetapi amat merbahaya.
Di zaman teknologi tanpa pemandu ini, perlindungan terhadap ruang udara bukan lagi suatu pilihan tetapi satu keperluan.-airtimes.my
#AirTimes #Diskusi #CounterUAS #AntiDron #TeknologiPertahanan #PeperanganModen #DroneWarfare
