SEGAMAT, 12 Mac – “Cabaran terbesar pasukan di Daerah Segamat ketika menyelamatkan mangsa banjir adalah melawan arus air yang deras untuk ke kawasan bencana,” demikian luahan Pegawai Memerintah Batalion Keempat Rejimen Artileri Diraja (4 RAD), Leftenan Kolonel Mohammad Idham Zakaria.
Beliau berkata, anggotanya terpaksa melawan arus air yang deras ketika menyelamatkan mangsa pada waktu malam dan di kawasan pendalaman untuk menyelamatkan mangsa dengan segera.
“Air banjir yang naik secara mendadak dengan cepat menyebabkan ramai mangsa terkandas dan perlu diselamatkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebok rasmi Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd), hari ini.
Menurut Markas 7 Bgd, Mohammad Idham turut turun sendiri ke lapangan dan sering mengingatkan semua anggota agar melaksanakan tugas dengan jujur serta ikhlas bagi meringankan beban mangsa banjir.
“Di samping itu, beliau turut menitikberatkan keselamatan anggota semasa bekerja di lapangan,” jelas 7 Bgd lagi.
Selain itu, pasukannya turut melaksanakn kerja-kerja pembersihan di kediaman mangsa yang terkesan akibat banjir.
Bencana banjir yang melanda di negeri Johor sejak kira-kira 2 minggu lalu masih mencatatkan seramai 40,847 mangsa banjir di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 pagi tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, 4 daerah melibatkan Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat masih lagi terjejas akibat banjir.
Daerah Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 39,256 mangsa banjir yang ditempatkan di 112 PPS di daerah berkenaan, Muar (781 mangsa banjir di 10 PPS), Tangkak (576 mangsa banjir di 8 PPS) dan Segamat (234 mangsa banjir di 9 PPS) ketika ini. -airtimes.my