KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kerajaan bersetuju untuk memberikan kemudahan sektor sosial kepada individu yang telah terima vaksin lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan yang berkuatkuasa Selasa ini ialah kebenaran rentas daerah dan aktiviti dine-in di kedai makan.
Menurutnya, individu yang ingin makan dan merentas daerah hanya perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya dan pemilik kedai yang dikunjungi.
Bagaimanapun, beliau berkata, seseorang individu hanya diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila penerima jenis vaksin 2 dos perlu melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua, manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
Beliau berkata, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal serta bukan berkumpulan (outdoor) dengan mematuhi penjarakan fizikal turut dibenarkan.
“Aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam,
“Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan,
“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya,” katanya dalam perutusan khas hari ini.
Selain itu, beliau berkata, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama turut dibenarkan melibatkan homestay dan hotel.
“Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,
“Kesemua kemudahan yang diumumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada Selasa, 10 Ogos 2021. Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” tambahnya. -airtimes.