Bulan Mei kian menghampiri penghujungnya, namun kisah Naval Strike Missile (NSM) masih menjadi topik panas di media sosial dan dada akhbar. Isu perolehan NSM yang dibatalkan oleh Oslo secara mengejut ketika tempoh Pameran Defence Services Asia (DSA) 2026 bukan sekadar cerita peluru berpandu yang tidak sampai.
Secara ringkas, Malaysia sudah menandatangani kontrak, membuat bayaran hampir penuh iaitu 95 peratus dan merancang penggunaan sistem itu untuk kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Apabila Norway menarik balik lesen eksport pada saat akhir, yang terjejas bukan hanya jadual persenjataan. Yang turut terjejas ialah kepercayaan terhadap pembekal pertahanan luar.
Isu sebenar bukan hanya peluru berpandu
Isu NSM bermula sebagai persoalan teknikal. Mengapa sistem yang sudah ditempah dan dibayar tidak dapat dihantar? Mengapa keputusan itu berlaku pada saat akhir? Apakah kesannya kepada kapal TLDM yang sudah dirancang untuk menerima sistem tersebut?
Namun selepas beberapa hari, isu ini bergerak lebih jauh daripada soal pembekalan. Ia kini menyentuh kebolehpercayaan kontrak pertahanan, risiko lesen eksport dan kebergantungan Malaysia kepada pembekal luar.
Fakta asas setakat ini jelas. Norway telah membatalkan atau menarik balik lesen eksport yang diperlukan untuk membolehkan NSM serta komponen pelancarnya dihantar kepada Malaysia. Ketika cerita pembatalan mula meletus, Norway mengesahkan lesen eksport berkaitan sistem itu telah dibatalkan selepas negaranya memperketat kawalan terhadap teknologi pertahanan sensitif.
“Pihak berkuasa Norway telah membuat keputusan untuk membatalkan beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu.
“Perubahan ini adalah disebabkan kawalan Norway yang lebih ketat terhadap teknologi tertentu,” menurut Kementerian Luar Norway dalam kenyataan ringkas kepada Air Times pada 7 Mei lalu.
Difahamkan, kenyataan balas yang sama turut dikeluarkan oleh Kementerian Luar Norway kepada media tempatan lain.
Kawalan eksport persenjataan Norway ditadbir oleh Direktorat Kawalan Eksport dan Sekatan Norway atau Norwegian Agency for Export Control and Sanctions (DEKSA). Agensi yang beroperasi sepenuhnya sejak Januari 2025 itu bertanggungjawab terhadap kawalan eksport, pelesenan eksport dan pelaksanaan sekatan, termasuk bagi barangan ketenteraan, teknologi dwi-guna serta perkhidmatan sensitif dari Norway ke luar negara.
DEKSA juga telah membalas persoalan berhubung isu NSM dan menyatakan perkara tersebut perlu dirujuk kepada Kementerian Luar Norway.
Semasa lawatan ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) pada 19 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa Malaysia telah membayar 95 peratus nilai kontrak. Jumlah keseluruhan kontrak perolehan NSM ialah RM634.7 juta, manakala bayaran yang telah dibuat dinyatakan berjumlah 126 juta euro. Kerajaan kini menuntut kos langsung dan kos tidak langsung daripada pihak Norway.
Dalam perolehan pertahanan, kelewatan bukan perkara luar biasa. Akan tetapi, pembatalan kontrak selepas bayaran besar dibuat membawa kesan lain. Ia bukan lagi sekadar isu jadual penghantaran. Ia menjadi tanda amaran tentang sejauh mana negara pembeli boleh bergantung kepada kontrak, kelulusan eksport dan komitmen politik negara pembekal.
Naval Strike Missile (NSM) menjadi topik yang paling menjadi tumpuan dalam isu pertahanan negara sepanjang Mei 2026. /Gambar: Forsvaret
Punca utama masih pada lesen eksport Norway
NSM merupakan peluru berpandu antikapal buatan Kongsberg Defence & Aerospace dari Norway. Kongsberg menyifatkan sistem itu sebagai peluru berpandu serangan tepat untuk sasaran laut dan darat, dengan jarak melebihi 300 kilometer, berat 407 kilogram dan keupayaan pengenalan sasaran lanjutan.
Malaysia memilih NSM sebagai sebahagian daripada kelengkapan kapal Littoral Combat Ship (LCS) kelas Maharaja Lela. Selain itu, Menteri Pertahanan turut menjelaskan bahawa kontrak berkaitan NSM bukan hanya melibatkan LCS. Ia juga melibatkan KD JEBAT dan KD LEKIU.
“Selain daripada kapal LCS, kontrak kita dengan pihak Norway ini melibatkan KD Jebat dan juga KD Lekiu. Dan untuk kedua-duanya sebenarnya kita telah pun membuat pembayaran kepada syarikat itu 95 peratus,” kata Menteri Pertahanan pada sidang media di LUNAS.
Beliau menyatakan jumlah keseluruhan kontrak untuk perolehan NSM ialah RM634.7 juta.
Notis tuntutan telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kepada syarikat Kongsberg. Tuntutan yang dikemukakan melibatkan kos langsung sekitar 126 juta euro dan kos tidak langsung.
Walaupun angka ini tampak besar di atas kertas, terdapat beberapa faktor lain yang menjadikan isu NSM dan LCS kritikal. Selain kebolehpercayaan terhadap pembekal, perolehan ini melibatkan wang rakyat. Malah, ia turut memberi kesan langsung kepada pertahanan kedaulatan Malaysia.
Kontrak yang telah berjalan bertahun-tahun, dengan bayaran hampir selesai, tidak sepatutnya dibatalkan pada saat akhir tanpa penjelasan yang memadai.
Selain LCS, KD LEKIU dilaporkan terjejas akibat pembatalan perolehan NSM oleh Norway. /Gambar: US Navy
NSM tidak sampai, apa akan terjadi kepada LCS?
Isu NSM tidak bermaksud keseluruhan kapal LCS gagal disiapkan. Berdasarkan penjelasan Menteri Pertahanan, kapal LCS masih boleh siap mengikut jadual, tetapi akan berdepan ketiadaan sistem permukaan ke permukaan yang dirancang.
“Kita sedia maklum kapal ini mempunyai alat, empat jenis alat persenjataan,” jelas Khaled Nordin.
LCS merupakan aset kombatan utama TLDM dalam perancangan strategik 15-to-5. Kapal ini dirancang dengan keupayaan anti permukaan, pertahanan udara, peperangan bawah permukaan dan peperangan elektronik.
“Jadi ketiga-tiga peralatan tidak terjejas, hanya yang NSM saja terjejas,” jelas Menteri Pertahanan.
Penerangan itu bukan bermaksud ketiadaan NSM ialah isu kecil. Khaled Nordin turut menjelaskan bahawa ketiadaan NSM bukan sahaja menyebabkan LCS mengalami kekurangan dari sudut persenjataan, malah memberi kesan kepada integrasi sistem.
Bagi sebuah kapal tempur moden, peluru berpandu antikapal ialah unsur penting daya serang dan daya cegah. Kapal boleh belayar dan menjalankan sebahagian tugas tanpa sistem itu, tetapi kemampuan menyerang sasaran permukaan pada jarak jauh akan terhad sehingga sistem gantian dipilih dan disepadukan.
Masalahnya, sistem gantian tidak boleh dipasang seperti mengganti alat biasa. Peluru berpandu baharu perlu serasi dengan sistem pengurusan tempur kapal, pelancar, penderia, pautan data, prosedur keselamatan dan latihan anak kapal. Selepas itu perlu ada ujian penerimaan dan penyesuaian doktrin penggunaan. Mohamed Khaled sendiri menyebut bahawa integrasi, ujian dan latihan antara perkara yang akan terkesan akibat ketiadaan NSM.
Sebab itu pembatalan pada fasa akhir menjadi mahal. Malaysia bukan hanya kehilangan satu item dalam senarai perolehan. Malaysia perlu mengurus semula sebahagian susunan tempur kapal yang telah dirancang lebih awal.
Dakwaan campur tangan Washington timbul kerana terdapat komponen NSM yang dikeluarkan oleh AS. /Gambar: US Navy
Mengapa ITAR dikaitkan dengan isu NSM?
Spekulasi paling kuat selepas isu ini meletus ialah dakwaan bahawa Amerika Syarikat mungkin menghalang penjualan NSM kepada Malaysia melalui International Traffic in Arms Regulations atau ITAR. Dakwaan ini mendapat perhatian kerana sistem pertahanan moden lazimnya mengandungi komponen daripada beberapa negara, termasuk komponen Amerika Syarikat.
USNI News melaporkan kemungkinan isu ini berkait dengan komponen giroskop buatan Amerika Syarikat dan kedudukan Malaysia sebagai negara bukan NATO. South China Morning Post dan beberapa media lain pula melaporkan penganalisis mengesyaki komponen buatan Amerika Syarikat mungkin menjadi faktor. Perkara yang sama dilaporkan oleh beberapa agensi media lain.
ITAR ialah rangka kawalan eksport Amerika Syarikat bagi peralatan pertahanan, perkhidmatan pertahanan dan data teknikal tertentu. Direktorat Kawalan Perdagangan Pertahanan Amerika Syarikat menyatakan ITAR meliputi 22 CFR bahagian 120 hingga 130 dan mengawal pembuatan, eksport, import sementara, perkhidmatan pertahanan serta aktiviti pembrokeran melibatkan item yang tersenarai dalam United States Munitions List.
Secara mudah, ITAR boleh memberi kesan bukan hanya kepada eksport terus dari Amerika Syarikat. Ia juga boleh mempengaruhi eksport semula atau pemindahan semula sistem yang mengandungi komponen, teknologi atau data teknikal Amerika Syarikat yang tertakluk kepada kawalan. eCFR menyatakan kelulusan DDTC perlu diperoleh sebelum eksport, eksport semula, pemindahan semula atau import sementara artikel pertahanan, kecuali jika pengecualian terpakai.
Sebab itu dakwaan ITAR mudah muncul. Kebanyakan sistem pertahanan moden bukan lagi produk satu negara sepenuhnya. Peluru berpandu, radar, avionik, sistem panduan, komunikasi dan perisian boleh mempunyai rantaian bekalan rentas negara.
Namun memahami ITAR tidak bermaksud menyimpulkan bahawa ITAR benar-benar menjadi punca dalam kes NSM Malaysia. Setakat maklumat awam yang tersedia, dakwaan itu masih perlu dibezakan daripada bukti rasmi.
Kedutaan AS menegaskan Washington tidak terlibat dalam pembatalan kontrak NSM, sebaliknya mereka telah memudah cara penyepaduan komponen NSM untuk Malaysia pada 2024. /Gambar: US Navy
Jika bukan campur tangan Washington, Oslo perlu menjawab
Semalam, media tempatan melaporkan penafian oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat mengenai campur tangan dalam pembatalan perolehan NSM.
“Amerika Syarikat memudah cara penyepaduan komponen pandu arah yang diperlukan untuk NSM kepada Kongsberg pada tahun 2024 bagi memastikan penyerahan sistem tersebut kepada Malaysia,” kata Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, David H. Gamble Jr dalam satu kenyataan seperti dilaporkan oleh media tempatan pada Khamis.
Penafian ringkas itu menepis dakwaan sebelum ini dan sekali gus meletakkan beban jawapan di pihak Oslo. Jika Washington tidak menyekat transaksi tersebut, maka tumpuan kembali kepada Norway. Oslo perlu menjelaskan mengapa lesen eksport boleh dibatalkan pada saat akhir selepas kontrak berjalan lama dan selepas Malaysia membuat bayaran hampir penuh.
Sebelum ini, Kementerian Luar Norway menegaskan eksport sebahagian teknologi pertahanan yang sensitif kini dihadkan kepada sekutu dan rakan paling rapat, atas perubahan landskap keselamatan di Eropah dan dunia.
Norway tentu mempunyai hak mengawal eksport teknologi pertahanannya. Tiada negara wajib menjual sistem sensitif tanpa kawalan. Namun hak mengawal eksport tidak menghapuskan persoalan kontrak. Apabila pelanggan sudah membayar dan sistem sudah dirancang untuk kapal, pembatalan sepihak tetap membawa kesan besar.
Penjelasan Norway mungkin mencukupi dari sudut dasar negaranya. Tetapi dari sudut Malaysia, ia belum menjawab semua perkara. Mengapa risiko perubahan dasar tidak diurus lebih awal? Mengapa kontrak dibiarkan berjalan sehingga bayaran hampir penuh? Mengapa Malaysia perlu menanggung kos integrasi semula akibat keputusan yang dibuat oleh negara pembekal?
Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Norway dengan jelas.
Selain itu, isu pembatalan NSM oleh Norway dijangka menjadi antara topik panas apabila Dewan Rakyat bersidang pada 22 Jun kelak.
Bagi Malaysia, kes ini tidak boleh berhenti sebagai pertikaian antara pembeli dengan pembekal. Ia perlu menjadi pengajaran dalam menilai risiko lesen eksport, jaminan kontrak dan kebergantungan kepada teknologi luar. Peluru berpandu boleh diganti. Kepercayaan terhadap pembekal yang menarik diri pada saat akhir jauh lebih sukar dipulihkan.
Dan mungkin adalah tiba masanya untuk negara melaksanakan polisi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dengan lebih serius. – airtimes.my
































