KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi mengenal pasti punca kematian seorang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram Isnin lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu dianggotai tiga badan berkuasa iaitu MINDEF, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Saya difahamkan bedah siasat pun sudah dibuat, kita belum dapat keputusan. Di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita sudah tubuhkan satu jawatan kuasa untuk siasat apakah punca dan sebab kematian kepada mangsa,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa ibu kepada mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, telah membuat laporan polis selepas mendapati jenazah anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, ditemukan dengan kesan lebam yang teruk.
Ummu Haiman berkata, anaknya meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, PULADA dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan terpecinci dan menyeluruh akan dilakukan.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #PALAPES #PULADA #kematian #kadet