LISBON, 22 JULAI – Tentera Udara Portugis (FAP) telah memulakan kempen ujian penerbangan bagi pesawat A-29N Super Tucano.
Ujian sekali gus menandakan Portugal sebagai negara pertama yang menggunakan varian baharu pesawat itu yang direka khusus untuk keperluan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Penerbangan sulung A-29N disempurnakan baru-baru ini di Portugal dan membuka tirai kepada fasa penilaian prestasi menjelang penerimaan rasmi pesawat tersebut.
A-29N merupakan varian terkini kepada pesawat latihan dan serangan ringan Super Tucano. Pesawat ini dilengkapi dengan sistem avionik dan komunikasi yang memenuhi piawaian operasi NATO.
Pesawat ini ditempah di bawah kontrak tahun 2024 yang melibatkan 12 unit, dengan Portugal bertindak sebagai pelanggan ulung kepada versi NATO ini.
“Pelancaran kempen ujian penerbangan A-29N menunjukkan bahawa kami berada di landasan tepat untuk memperoleh platform tersendiri, dengan konfigurasi yang direka khas oleh Tentera Udara Portugis. Ia bakal membuktikan keupayaan dalam latihan lanjutan dan penggunaan operasi,” kata Mejar Jeneral João Nogueira, Pengarah Program KC-390 FAP dalam satu kenyataan
Menurut syarikat Embraer, pesawat A-29 Super Tucano telah dipilih oleh 22 negara dan telah mengumpul lebih 600,000 jam penerbangan setakat ini. Varian A-29N pula dibangunkan bagi memenuhi keperluan latihan taktikal dan operasi untuk pasukan udara pakatan NATO.
“Kami amat berbangga kerana dapat menyumbang secara signifikan kepada peningkatan keupayaan operasi FAP melalui A-29N dan KC-390. Penerbangan ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong pertahanan Portugal dengan penyelesaian inovatif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Embraer Defense & Security, Bosco da Costa Junior.
Pesawat A-29N dijangka digunakan dalam pelbagai peranan termasuk sokongan udara rapat, rondaan udara, operasi khas, dan latihan lanjutan peralihan kepada jet pejuang. – airtimes.my
#AirTimes #Portugal #Embraer #SuperTucano