Home Teknologi PertahananIndia bakal terima 2 pesawat Tejas Mark 1A hujung September

India bakal terima 2 pesawat Tejas Mark 1A hujung September

by M.Daim
A+A-
Reset

NEW DELHI, 30 OGOS – India dijangka menerima dua buah pesawat pejuang  buatan negara itu, Tejas Mark 1A, menjelang hujung September ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan tempatan dalam sektor pertahanan.

Setiausaha Pertahanan, Rajesh Kumar Singh Singh berkata, langkah itu sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi lebih berdikari dalam memenuhi keperluan ketenteraan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada import.

Beliau menambah, penyerahan tersebut akan menandakan fasa penting dalam usaha menggantikan pesawat MiG-21 yang telah berkhidmat lebih separuh abad dalam inventori Angkatan Udara India (IAF).

“Sekitar 38 unit Tejas sudah beroperasi, manakala 80 lagi sedang dalam pembinaan. 10 unit telah siap, 2 enjin telah dihantar, dan 2 pesawat pertama dengan integrasi senjata dijangka diserahkan pada September ini,

”Kontrak rasmi akan ditandatangani bulan depan,” katanya pada Sidang Kemuncak Pertahanan NDTV seperti dilaporkan oleh NDTV.

Beliau menegaskan bahawa pesanan sedia ada memberikan ruang kepada Hindustan Aeronautics Limited (HAL) untuk memperkemas platform tersebut.

“Dengan tempahan ini, HAL mempunyai pesanan yang cukup untuk 4 hingga 5 tahun. Mereka boleh menambah baik sistem radar, mengintegrasikan senjata buatan tempatan, dan menjadikan Tejas tulang belakang bersama Sukhoi dalam Angkatan Udara India,” jelasnya.

Tejas Mark 1A adalah varian dinaik taraf daripada Tejas Mk1 yang menekankan kemampuan avionik, sistem peperangan elektronik dan integrasi senjata pintar. Pesawat ini dijangka menggantikan sepenuhnya peranan MiG-21 yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 2025.

Pada masa sama, kerajaan India baru-baru ini meluluskan perolehan tambahan 97 unit Tejas Mark 1A bernilai ₹62,000 crore (anggaran RM35 bilion), menjadikan jumlah keseluruhan pesanan lebih 200 unit.

Langkah ini dilihat sebagai komitmen jangka panjang untuk membangunkan industri pertahanan domestik.

Singh turut menegaskan dasar ‘Make in India’ sebagai asas kepada autonomi strategik negara. Katanya, sebanyak 75 peratus daripada perbelanjaan pembangunan modal pertahanan kini ditetapkan mesti dibelanjakan dalam negara.

“Ini kini satu keperluan strategik. Kita mesti berdikari untuk memastikan autonomi strategik. Sejak 2014, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi mengekalkan fokus yang konsisten terhadap agenda ini. Pengeluar asing mesti melabur dan menghasilkan produk di India untuk layak mendapatkan kontrak baharu,” katanya.

Langkah ini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada import serta meletakkan India sebagai salah satu pemain utama dalam industri aeroangkasa pertahanan global. – airtimes.my

#AirTimes #India #Tejas #HAL

Related Articles

Leave a Reply