Home Pertahanan dan KeselamatanPLKN 3.0: Pelatih cadang lanjutkan tempoh latihan, 82.5% beri maklum balas positif

PLKN 3.0: Pelatih cadang lanjutkan tempoh latihan, 82.5% beri maklum balas positif

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri kedua mencadangkan agar tempoh latihan dilanjutkan, susulan maklum balas positif yang direkodkan selepas tamat latihan baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 82.5 peratus pelatih memberikan respons positif, termasuk mengemukakan syor penambahbaikan seperti penambahan aktiviti praktikal dan pengukuhan modul berteraskan asas ketenteraan.

Syor itu katanya, diterima melalui dapatan soal selidik pasca latihan, merekodkan maklum balas positif daripada 82.5 peratus pelatih yang turut mengemukakan cadangan konstruktif bagi penambahbaikan program.

“Hasil temu bual bersama alumni siri 1 dan 2 mengesahkan bahawa PLKN 3.0 berfungsi sebagai pemangkin transformasi positif dalam kehidupan para pelatih,

“Impak utamanya dapat dilihat melalui pembentukan disiplin, peningkatan keyakinan diri, semangat perpaduan, serta kesedaran sivik dan jati diri,

“Transformasi ini turut merangkumi aspek gaya hidup sihat, pengurusan masa yang efisien, dan pemahaman mendalam terhadap isu-isu semasa negara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai pencapaian PLKN 3.0 bagi siri kedua yang dilaksanakan dari 11 Mei hingga 24 Jun lalu.

Program selama 45 hari yang berlangsung dari 11 Mei hingga 24 Jun lalu, dilaksanakan di dua pusat latihan utama iaitu di Rejimen 505 Askar Wataniah (AW), Pekan, Pahang bagi 257 pelatih lelaki dan di Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur untuk 187 pelatih perempuan.

Dalam jawapan yang sama, Mohamed Khaled turut berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 siri kedua tahun ini merekodkan pencapaian signifikan apabila hampir 90 peratus pelatihnya berjaya menamatkan latihan.

Menurutnya, kadar penyertaan sehingga tamat latihan mencecah 80.73 peratus, iaitu seramai 444 daripada 550 pelatih yang disasarkan.

Bagaimanapun, katanya, seramai 43 orang pelatih terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej swasta, manakala 63 lagi memohon penangguhan dengan pelbagai alasan.

“Kesimpulannya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) percaya PLKN 3.0 dapat melangkaui fungsinya sebagai program latihan fizikal semata-mata,

“Ia bakal menjadi intervensi strategik yang berjaya membentuk generasi muda Malaysia lebih berdisiplin, berdaya tahan dan patriotik,

“Program ini juga akan menjadi platform efektif untuk memupuk jalinan persahabatan erat merentasi kaum dan negeri, selari aspirasi pembangunan modal insan holistik untuk kemajuan negara,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#airtimes #pertahanan #PLKN3 #Malaysia #pelatih

 

Related Articles

Leave a Reply