KUALA LUMPUR, 18 Mac – Tiga pembinaan pos keselamatan baharu dirancang di bina bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan Sabah.
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman sama ada dari dalam atau luar negara.
“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM2 bilion bagi pembangunan infrastruktur pertahanan di Sabah, termasuk membina tiga pos keselamatan baharu bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan Sabah,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.
Pertemuan ini merupakan yang pertama sejak beliau menjadi Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke-11 awal tahun ini.
“Pertemuan ini memberi ruang kepada saya untuk memaklumkan beliau berkenaan keadaan dan situasi keselamatan di Sabah,
“Kerajaan Persekutuan berterusan memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan Sabah terkawal, jelas hantaran itu lagi.
Menurut hantaran itu lagi, pertemuan tersebut turut membincangkan soal cabaran pertahanan sama ada dari dalam mahupun luar negara.
“Saya mengambil kesempatan pertemuan ini juga untuk menjemput beliau menghadiri LIMA ’25 pada 20 hingga 24 Mei tahun ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Mohamed Khaled memaklumkan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan sejumlah RM2.2 bilion bagi memperkukuh sektor pertahanan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah.
Jelasnya, peruntukan itu termasuk untuk penyelenggaraan, pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kemudahan asas di kem sempadan dan keperluan projek lain yang melibatkan tentera darat serta laut.-airtimes.my
#pertahanan #Sabah #ATM #poskeselamatan #airtimes