PELABUHAN KLANG, 29 DIS – Kapal induk Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), USS CARL VINSON telah tiba dan berlabuh di Pelabuhan Klang, hari ini.
USS CARL VINSON merupakan kapal induk kelas NIMITZ yang kedua untuk berlabuh di negara ini dalam tempoh 2 bulan, selepas USS ABRAHAM LINCOLN pada akhir November lalu.
Pihak US Navy dalam satu kenyataan berkata, ketibaan kapal induk merupakan lawatan pelabuhan (port call) yang dijadualkan pada tarikh 29 Disember 2024.
USS CARL VINSON merupakan kapal induk untuk Carrier Strike Group ONE (CSG-1). Kumpulan ini turut terdiri daripada kapal kruiser kelas TICODEROGA, USS PRINCETON; 2 buah kapal pemusnah ARLEIGH BURKE – USS STERETT dan USS WILLIAM P. LAWRENCE.

USS CARL VINSON meru[pakan kapal induk kelas NIMITZ Tentera Laut Amerika Syarikat. Foto: AirTimes/M Daim
Komander CSG-1, Rear Admiral Michael Wosje menyatakan ketibaan USS CARL VINSON dan kapal-kapal lain ke Pelabuhan Klang mengukuhkan kerjasama Malaysia-Amerika Syarikat.
“Malaysia adalah rakan kongsi utama kami di Indo-Pasifik,” katanya.
Menurut beliau, lawatan ini juga memberikan peluang yang penting dan unik untuk meneruskan kerjasama serta hubungan strategik antara US Navy dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Rear Admiral Michael Wosje, Komander Carrier Strike Group 1 (kiri) ketika memberikan taklimat kepada media yang hadir melawat USS CARL VINSON, hari ini. Foto: Air Times/M Daim
Selain itu, ketibaan USS CARL VINSON turut memberikan waktu rehat kepada kelasi untuk mengenali lebih rapat dan membina hubungan dengan komuniti tempatan.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan menegaskan lawatan berturut-turut oleh 2 kapal induk US Navy ke Malaysia dalam tempoh 2 bulan mencerminkan hubungan keselamatan mendalam di antara kedua-dua negara.
“Berdasarkan kerjasama rapat selama beberapa dekad, kami terus memperkukuhkan hubungan keselamatan dan komited untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi memajukan visi bersama kami untuk rantau Indo-Pasifik yang bebas, selamat, dan makmur,” kata Kagan.
Amerika Syarikat dan Malaysia telah memulakan hubungan diplomatik secara rasmi pada tahun 1957, selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka dari British. Hubungan ini diteruskan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Pada tahun 2014, hubungan diplomatik US-Malaysia telah dinaiktaraf kepada Kerjasama Persahabatan Komprehensif.
Dari sudut sejarah, Amerika Syarikat telah pun mempunyai perkhidmatan konsular dan dagangan di negara ini semenjak era tahun 1800.
Selain hubungan diplomatik, Putrajaya dan Washington turut menjalinkan hubungan dagangan, pelaburan, keselamatan dan pertahanan, kerjasama alam sekitar, pendidikan serta budaya.
Hubungan kerjasama pertahanan dan keselamatan melibatkan aktiviti menentang keganasan (anti-terrorism) serta keupayaan kesedaran domain maritim. Selain itu, tentera Malaysia dan Amerika Syarikat turut melaksanakan pelbagai latihan ketenteraan bersama yang diadakan secara bilateral serta multilateral. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #USSCARLVINSON #CVN70