Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan tingkat langkah progresif lindungi keselamatan MALBATT di Lubnan

Kerajaan tingkat langkah progresif lindungi keselamatan MALBATT di Lubnan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Kerajaan Malaysia terus mengambil langkah-langkah progresif untuk memastikan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penyataan jawapan lisan Dewan Negara.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa di Lubnan, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa mengutamakan keselamatan anggota melalui pemantauan berterusan dan komunikasi rapat dengan pasukan pengaman di lapangan.

“Bagi anggota yang cedera dalam serangan baru-baru ini, mereka telah dipindahkan ke kawasan selamat iaitu Kem Marakah. Kem ini dilengkapi dengan sokongan logistik dan perubatan untuk memastikan kebajikan anggota dijaga,

“Anggota yang terpilih menyertai misi juga telah menjalani latihan intensif yang merangkumi pengurusan risiko konflik, keselamatan peribadi, dan pemahaman terhadap situasi geopolitik di kawasan misi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Senator Abdul Nasir Idris yang ingin mengetahui apakah langkah progresif kerajaan dalam menjaga keselamatan tentera Malaysia di Lubnan.

Menurutnya, kerajaan juga terus menghantar kumpulan pengaman secara berperingkat untuk menggantikan anggota yang tamat perkhidmatan di Lubnan.

“Ia memastikan kesinambungan operasi tanpa menjejaskan keselamatan anggota baru yang dihantar,

“Malaysia juga sentiasa bekerjasama rapat dengan PBB dan pihak berkuasa Lubnan untuk memastikan segala bentuk ancaman keselamatan dapat ditangani dengan berkesan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, langkah-langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan anggota ATM yang berkhidmat dalam misi antarabangsa sentiasa diambil berat.-airtimes.my

#pertahanan #MALBATT #Malaysia #Lubnan #airtimes

 

Leave a Reply