Home Pertahanan dan Keselamatan 2 kenderaan MALBATT diserang orang awam di Lubnan

2 kenderaan MALBATT diserang orang awam di Lubnan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan 2 buah kenderaan Fitted For Radio (FFR) pasukan Malaysian Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) terbabit dalam insiden tindakan agresif orang awam di Lubnan.

Menurut Markas ATM, kejadian berlaku pada Rabu sekitar jam 11.32 malam waktu Malaysia (5.32 petang waktu Lubnan) ketika trup kenderaan MALBATT dinaiki oleh 3 pegawai dan 7 anggota dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.

“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, telah berlaku kesesakan luar biasa. Ketika itu, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulan dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah,

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan MALBATT. Hampir 30 orang awam kemudiannya membaling batu serta memancitkan kesemua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,

“Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, ketua pergerakan telah mengarahkan kedua-dua kenderaan berhenti di tepi jalan yang selamat dan kekal berada di dalam kenderaan bagi menanti bantuan,” jelas Markas ATM dalam kenyataan, pada Jumaat.

Namun, keadaan berjaya dikawal dengan bantuan Lebanon Armed Forces (LAF) dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kalangan anggota MALBATT.

Kesemua anggota berserta kenderaan tiba di Kem Marakah dengan selamat pada jam 1.39 pagi waktu Malaysia (7.39 petang waktu Lubnan).

“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit. Namun, kedua-dua kenderaan telah mengalami beberapa kesan kerosakan,

“MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, semua pihak diminta agar untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi 23 saat yang memaparkan 2 buah kenderaan dipercayai milik pasukan MALBATT diserang rakyat Lubnan, semalam.-airtimes.my

#MALBATT #Lubnan #serang #Malaysia #ATM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply