IPOH, 18 Sept – Negara tidak melupakan waris dan ahli keluarga wira-wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat semasa insiden di Lahad Datu, Sabah apabila aspek kebajikan mereka diambil berat.
Walaupun telah 12 tahun berlalu, namun kebajikan mereka khususnya anak-anak tetap terbela.
Pengurusan PDRM juga menguruskan kemasukan anak sulung Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim berkata, aspek kebajikan khususnya melibatkan pendidikan anak-anak tersebut sentiasa diberi perhatian.
Menurut beliau, pasukan 69 Komando juga sentiasa bertanya khabar tentang waris-waris dan ahli keluarga daripada masa ke semasa.
“Mengenai keluarga Zul (Asisten Superintendan Zulkifli Mamat), kita sedang menguruskan kemasukan anak sulung Allahyarham ke MRSM,
“Semasa peristiwa tersebut, anak Allahyarham ini baru berusia 6 tahun,
“Justeru, PDRM khususnya 69 Komando sentiasa mengambil maklum tentang kebajikan ahli-ahli keluarga wira-wira negara, mereka tidak dilupakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi tayangan filem Takluk: Lahad Datu di GSC Ipoh Parade yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena Hari Malaysia, baru-baru ini.
Ia juga bagi menghargai jasa dan pengorbanan wira negara.
Hadir sama ialah Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Azizi Mat Aris dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Sementara itu Azizi memuji inisiatif MBI mengadakan sesi tayangan berkenaan yang turut disertai pegawai-pegawai kanan pihak berkuasa tempatan itu, Ahli Majlis selain petugas media.
“Seperti kita semua maklum, penerbitan filem ini mengangkat kisah benar yang berlaku untuk kita menghargai pengorbanan wira-wira negara,
“Ia juga bagi menyuburkan semangat cintakan tanahair dalam kalangan masyarakat, justeru inisiatif MBI menganjurkan sesi tayangan ini amat dihargai,” ujar beliau.
Rumaizi pula memberitahu, inisiatif menganjurkan tayangan filem itu adalah untuk menyemai dan menaikkan semangat cintakan negara.
“Sepertimana kita tahu, insiden di Lahad Datu melibatkan pasukan 69 Komando yang berpangkalan di Ulu Kinta, jadi ini merupakan satu kebanggaan kepada kita.
“Jasa dan pengorbanan mereka amat kita hargai dan berharap semangat perjuangan mereka subur dalam diri kita,” ujarnya.
Pada Februari 2013, negara digemparkan dengan pengganas Sulu yang menceroboh perairan Sabah secara berperingkat-peringkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Pencerobohan itu membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo yang mana Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud terkorban.
Allahyarham Zulkifli dan Sabarudin kemudian telah dinaikkan pangkat secara medan serta dianugerahkan darjah kepahlawanan Panglima Gagah Berani (PGB).
Tiga anak Allahyarham Zulkifli ialah Noorakmal Amiruddin, 16, Noor Muhammad Aqil,11, dan Noor Aqib Syahid,10,
Sementara itu, wira-wira yang terkorban ketika pertempuran di Kampung Simunul, Semporna ialah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel dan Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit.
Turut terkorban, Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Sarjan Sokongan Salam Togiran dan Koperal Mohd. Azrul Tukiran.
Filem Takluk: Lahad Datu yang mendapat kerjasama PDRM ditayangkan di pawagam sejak 22 Ogos lalu telah mencacatkan kutipan sebanyak RM20 juta.-airtimes.my
#PDRM #keselamatan #VAT69 #LahadDatu #airtimes #Malaysia