KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Penduduk di Putrajaya dan Selangor dinasihatkan agar tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat tentera milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan keselamatan lain terbang rendah bermula esok sehingga Sabtu ini.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan, beberapa pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter akan terbang di ruang udara berkenaan bagi melaksanakan penerbangan taktikal sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya.
“TUDM dipertanggungjawabkan bagi mengetuai segmen udara dan persembahan udara yang membabitkan pesawat khususnya milik TUDM dan ATM daripada pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,
“Turut sama terbabit adalah aset udara pasukan keselamatan lain,
“Pesawat-pesawat udara yang terbabit dalam acara gemilang sambutan di peringkat negara ini akan memulakan latihan penerbangan taktikal bermula 27 hingga 31 Ogos ini,” jelas TUDM, hari ini.
Menurut TUDM, sepanjang latihan berlangsung pesawat tentera dan pasukan keselamatan terbabit akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu khususnya sekitar ruang udara Putrajaya dan Selangor.
Justeru, orang ramai tidak perlu cemas dan risau melihat pesawat terbang rendah di sepanjang tempoh latihan dilaksanakan.-airtimes.my
#pertahanan #TUDM #TLDM #airtimes #HariKebangsaan #Malaysia
