Tanggal 16 Ogos 2024, rakyat Malaysia menerima kehadiran 41 pesakit Palestin yang telah dibawa pulang ke tanah air. Operasi membawa pulang pesakit berserta waris mereka dilaksanakan dengan menggunakan 2 buah pesawat A400M yang dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebelum ini, kerajaan telah menyuarakan hasrat untuk membawa pulang sejumlah pesakit dari wilayah bergolak itu untuk dirawat di negara ini.
Namun begitu, terdapat pihak berpendapat bahawa Malaysia sepatutnya membuka Hospital Medan di Mesir atau Gaza, seperti mana yang dilakukan oleh Jordan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Dalam sidang media di Pangkalan Udara Subang, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin menyatakan operasi membuka hospital medan di Palestin bukan pilihan yang baik.
Beliau menjelaskan, operasi itu akan memberi risiko dan ancaman yang tinggi serta terdedah dengan pengeboman oleh tentera Israel (IDF).
“Pihak IDF tetap mengebom tidak kira sama ada ianya markas tentera atau hospital sama sekali.
“Jadi kerana itulah kita melihat keputusan membawa rakyat Palestin ke Malaysia adalah keputusan yang baik lebih-lebih lagi Malaysia berpendirian kuat dan tegas dalam soal Palestin,” katanya pada Jumaat.
Jelasnya lagi, keputusan ini lebih baik buat rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan tanpa apa-apa gangguan sekaligus lebih selamat di sini.
Apa yang dijelaskan oleh Menteri Pertahanan sememangnya berasas.
Semenjak 7 Oktober 2023, serangan terhadap hospital oleh pihak tentera Israel bukanlah sesuatu yang baharu.
Sementara seluruh dunia melihat ke arah keadaan Hospital Al-Shifa, kompleks perubatan terbesar di Gaza, Hospital Indonesia tidak terlepas daripada serangan. Tambahan pula, di atas peta, kedudukan hospital yang dibuka oleh Jakarta pada tahun 2016 itu merupakan berkedudukan terhadapan berbanding Al Shifa.
Hospital yang mempunyai 200 katil itu dilaporkan musnah teruk pada November lalu.
Selain Hospital Indonesia, Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin turut musnah pada penghujung Oktober.
Negara Arab, walaupun dikritik dengan hebat di peringkat global kerana didakwa bersikap berdiam diri, mereka telah melakukan pelbagai langkah tersendiri bagi membantu masyarakat Palestin.
Jordan dan UAE masih mengoperasikan Hospital Medan masing-masing sepanjang peperangan berterusan di Gaza.
Namun begitu, fasiliti kesihatan kedua-dua negara ini tidak terlepas dari serangan dari Israel.
Pada Januari lalu, Jordan melaporkan hospital tentera yang berada di Khan Younis mengalami kerosakan teruk akibat bedilan artileri oleh tentera Israel.
Malah, kereta kebal Israel dilaporkan telah menyekat sebarang pergerakan keluar masuk hospital. Media NPR melaporkan tembakan telah sengaja disasarkan ke arah salah sebuah hospital medan yang dioperasikan oleh Jordan.
Pada Mei lalu, 2 orang cedera termasuk seorang pengawal UAE akibat bedilan IDF terhadap Rafah.
Melihat kepada beberapa senario tersebut, Air Times melihat keadaan yang tidak menentu dan tidak selamat menjadi pertimbangan oleh pihak pemimpin tinggi kerajaan dalam melaksanakan misi Palestin.
Ini dapat dilihat semasa sidang media pada Jumaat lalu di mana Khaled Nordin menjelaskan keadaan yang tidak selamat menjadi faktor Malaysia tidak membuka hospital medan dan situasinya berbeza ketika pembukaan hospital medan di Turkey sewaktu mengalami krisis bencana alam.
#AirTimes #malaysia #HospitalMedan