Namaku Kamarudin bin Jadi, ayahku dan ibuku adalah seorang petani.
Aku dilahirkan di Kampung Gaeng Baru, Pedas,Rembau Negeri Sembilan pada tanggal 29hb Julai 1934. Merupakan anak kedua dari 11 orang adik beradik.
Lahir dalam keluarga petani yang serba kekurangan dan sebagai anak lelaki sulung, aku sentiasa memikirkan tentang kehidupan serta masa hadapan adik-adik yang lain.
Dalam kekurangan tersebut aku sempat menghabiskan persekolahanku sehingga tamat darjah enam pada 1946.
Pada mulanya aku ada menerima tawaran menjadi seorang guru, namun ia memerlukan pembiayaan besar untuk menjalani kursus perguruan, maka aku batalkan niatku.
Sebagai mata pencarian aku mengambil upah membuat kerja-kerja kampung seperti menjaga lembu dan kebun orang-orang kampung.
Minatku untuk menjadi pendidik sedikit demi sedikit hilang dan diganti dengan semangat juang untuk mempertahankan anak bangsa apabila aku melalui kesan peperangan Perang Dunia Kedua, keperitan hidup ketika pendudukkan tentera Jepun, penjajahan tentera Inggeris seterusnya ancaman komunis.
Pengalaman itu menjadikan aku bertekad untuk menjadi salah seorang anggota keselamatan pada ketika itu, tak kira sama ada menjadi polis atau tentera untuk membela nasib anak bangsa.
Aku terpaksa menyimpan hasrat tersebut selama 10 tahun kerana masih belum mempunyai cukup perbelanjaan untuk pergi temuduga mana-mana pengambilan anggota keselamatan tersebut disamping banyak duit diperlukan untuk perbelanjaan adik-adik.
Aku mengambil upah menoreh getah di estet di Sepri yang sentiasa menerima ancaman komunis yang berada di persempadanan hutan simpan hujung estet.
Kadang-kadang bekal makanan kami turut dirampas dan kerap diugut dengan ancaman bunuh kiranya kami membuat laporan kepada ketua kampung atau pihak berkuasa.
Ini menyebabkan aku mula jarang mengambil upah menoreh kerana bimbang dicederakan atau dicolek.
Kalau tiada kawan untuk menoreh aku hanya membantu ayah ke sawah untuk memastikan dapur kami sentiasa berasap manakala adik-adik mendapat makan dan pendidikan yang sempurna.
Keinginan bekerja di luar itu ada, namun memikirkan adik-adik masih kecil dan ayah sudah semestinya memerlukan bantuan aku, maka impian itu aku pendam.
Pada tahun 1955, apabila umurku mencecah 21 tahun aku bertekad untuk mencari rezeki di luar kampung dan kebetulan pula pada waktu itu ada pengambilan besar-besar tentera di Port Dickson.
Berbekalkan syiling berjumlah lima ringgit, aku bersama beberapa kawan sekampung ke kem tentera di Port Dickson untuk menghadiri sesi temuduga. Alhamdulillah, aku berjaya dalam temuduga tersebut.
Empat kali bertempur dengan komunis
Sepanjang perkhidmatan aku dalam tentera, sebanyak empat kali aku dan pasukan bertembung dengan pengganas komunis terutamanya apabila kami membuat rondaan keselamatan di kawasan-kawasan yang diarahkan untuk dibersihkan atau pun berdasarkan maklumat risikan.
Kali pertama aku berhadapan dengan komunis adalah pada tahun 1956, berhampiran Hutan Padang Senai di Kedah.
Pasukanku berjumlah 25 orang diketuai oleh pemangku platun Sarjan iaitu 7080 Kpl Raub ketika itu ditugaskan untuk menjalankan rondaan.
Kami telah bertembung dengan komunis seramai 28 orang (berdasarkan beg sandang yang ditinggalkan) dan pasukanku selamat manakala musuh berjaya ditembak mati seramai 2 orang, selebihnya melarikan diri.
Kali kedua, pasukan yang sama telah diserang hendap oleh komunis pada 31 Ogos 1958, namun pasukanku berjaya mengalahkan pihak musuh apabila mereka melarikan diri.
Selang beberapa hari komunis yang sama telah menyerah diri dan mengakui serang hendap yang dilakukan kerana beranggapan pasukanku adalah tentera Gurkha dan bertujuan untuk merampas senjata dan peluru yang dibawa.
Kali ketiga, ketika aku menjalankan operasi di Perak namun aku tidak dapat ingat secara jelas lokasi dan tahun kejadian.
Satu platun yang diketuai oleh Kpl Amat/Ahmad pergi membuat serangan hendap ke lokasi musuh, namun kami diserang hendap oleh musuh ketika dalam perjalanan.
Dalam pertempuran tersebut 2 orang komunis berjaya ditembak mati dan seorang dapat ditawan.
Kali keempat berlaku pada 1976 ketika aku berpangkat PWII. Pasukanku, Batalion Ke-13 RAMD sedang berehat selepas makan malam di pangkalan sementara di Bukit Berapit, Kroh yang diketuai oleh Kapten Sharudin.
Komunis melancarkan serangan dengan melepaskan tembakan LMG dan roket. Kami membalas serangan tersebut menyebabkan komunis terpaksa berundur dengan meninggalkan nota; ‘KAMI ADALAH PASUKAN JAKET HITAM.’
Pangkat terakhirku adalah Pegawai Waran I, bagaimana pun dalam Buku Pengakuan Perkhidmatan anggota Angkatan Tentera Malaysia dicatatkan sebagai Pegawai Waran II.
Ini disebabkan pangkat tersebut diberikan ketika aku menjalani kursus peralihan pada 1977 iaitu tahun aku bersara wajib. Memandangkan catitan yang telah dibuat lebih awal dalam buku tersebut maka pindaan tidak dapat dibuat.
Namun, aku tetap bersyukur apabila bersara wajib setelah 22 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Kisah terlibat dalam perbarisan kemerdekaan
Aku terpilih untuk menyertai perbarisan menyambut kemerdekaan, ketika itu aku ingin balik ke kampung, namun cutiku telah dibatalkan atas alasan aku terpilih untuk menyertai perbarisan tersebut.
Disebabkan ketinggian dan fizikalku, aku telah dipertanggungjawabkan menjadi penanda kanan dalam Kawalan Kehormatan atau Guard of Honor.
Komander perbarisan adalah Mejar Hamid Bidin, Ajutan Kapten Syed Hamzah dan RSM Encik Mad Sah.
Kami adalah pasukan pertama yang masuk ke dalam Stadium Merdeka untuk meraikan hari paling bersejarah bagi Negara Malaysia.
Rasa bangga dan terharu masih berbaki apabila setiap kali terdengar laungan
MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA
Tarikh masuk tentera : 1955
Pasukan : Rejimen Askar Melayu DiRaja
Tarikh bersara : 1977
Pingat : PPS, PKB, PPA, GSM (M) dan PJM.
Kisah ini dinukilkan oleh PW1 Kamarudin kepada Zaki Salleh. – airtimes.my
Anak kelahiran Rembau kongsikan kisah pengalaman dan detik dalam menyarung uniform sebagai anggota tentera di kala negara masih lagi terpalit dengan ancaman keselamatan.
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Merdeka