KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah akan menilai semula perolehan peralatan ketenteran bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seri Paduka Baginda bertitah, peralatan yang ingin dibeli oleh kerajaan mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan serta keperluan pertahanan negara.
Tegas baginda, pembelian kemudahan dan peralatan ketenteraan tersebut bukannya mengikut telunjuk pembekal atau agen yang menawarkan komisen.
“Saya juga telah mengingatkan kerajaan untuk sentiasa menitik beratkan nilai-nilai amanah dalam semua urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2024 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, kedaulatan dan maruah negara akan tergadai jika rasuah serta salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera.
“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), saya tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai ATM yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera,
“Kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut sikap jujur dan amanah serta pengorbanan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi demi mempertahankan kedaulatan negara,
“Jangan sesekali ada pegawai tentera terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan, menjadi tanggungjawab kepada semua pegawai tentera untuk menjaga disiplin setiap masa terutama apabila memakai pakaian seragam.
“Jaga tingkah laku dan jangan sekali-kali membuat perkara yang tidak bermaruah. Jangan musnahkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tentera dan jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” titah Seri Paduka Baginda.
Kepada pegawai kadet yang ditauliahkan hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah mengingatkan bahawa perjalanan yang mereka akan ditempuhi masih jauh, kerana ada banyak lagi latihan dan kursus lain yang perlu dihadapi untuk menjadi seorang pegawai tentera yang berkebolehan tinggi.
“Pesanan saya, saudara saudari mesti cekal dan tabah untuk terus berlatih dan menimba ilmu baharu bagi mengharungi keadaan dunia yang semakin mencabar dan menyesuaikan diri dengan teknologi pertahanan terkini.,
“Jika ada yang tidak sanggup menghadapi asam garam kehidupan sebagai seorang pegawai tentera, maka silalah keluar baris,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, seramai 664 Pegawai Kadet yang ditauliahkan hari ini terdiri daripada mereka yang menamatkan latihan di Akademi Latihan Ketenteraan, Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris Pertama dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP) selama 6 bulan.
Majlis hari ini menyaksikan Leftenan Muda Ahmad Arif Izudin Mohamad Zin diiktiraf sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Penglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.-airtimes.my
#pertahanan #kadet #rasuah #DaulatTuanku #ATM #airtimes