PUTRAJAYA, 30 JUL – Peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta diberikan bagi penambahbaikan fasiliti keselamatan di negeri-negeri sempadan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Bulan Keselamatan Negara (IKN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambilkira keadaan daif kebanyakan fasiliti keselamatan sempadan di bahagian Utara Semenanjung.
“Saya turut mengarahkan agar prosedur kerajaan yang terbabit dalam usaha penambahbaikan ini dipermudah dan dilonggarkan.
“Namun, ditegaskan bahawa pembelian aset-aset keselamatan mesti dibuat dengan cara yang lebih tersusun dan terencana agar tatakelola dan tadbir urus perolehannya berintegriti serta menjimatkan kos Kerajaan,” katanya.
Jelas Anwar lagi, meskipun menjaga keselamatan dan kedaulatan negara merupakan tugas Kerajaan, namun penglibatan setiap warganegara amat kritikal dalam mewujudkan sinergi pengurusan keselamatan yang tersepadu.
“Ia juga berkait rapat dengan konsep Malaysia Madani yang saya gagaskan iaitu menekankan pembangunan negara secara holistik melalui kesepaduan rakyat, kestabilan ekonomi, hak asasi manusia dan keadilan sosial.
“Setakat ini, konsep Malaysia Madani berjaya membuahkan hasil dalam aspek keselamatan.
Buktinya, pada tahun ini Malaysia telah telah melonjak sembilan anak tangga di dalam “Global Peace Index 2024”.
“Buat julung kalinya, Malaysia tersenarai antara 10 negara terselamat di dunia.
“Tren ini juga diterjemahkan dengan penaiktarafan Malaysia ke “Tier 2” dalam “2024 Trafficking in Persons Report”, ujarnya.
Selain itu, Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) turut menunjukkan skor IKK bagi tahun 2023 ialah 1.48 iaitu satu pencapaian yang amat membanggakan. -airtimes.my
