Home Pertahanan dan Keselamatan ‘My Heroes Vending Machine’ beri peluang veteran ATM jana sumber pendapatan secara konsisten

‘My Heroes Vending Machine’ beri peluang veteran ATM jana sumber pendapatan secara konsisten

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Program ‘My Heroes Vending Machine’ memberi peluang kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menambah sumber pendapatan agar dapat keluar daripada B40 atau perangkap miskin bandar.

Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada persatuan-persatuan dan koperasi-koperasi veteran untuk menjana sumber pendapatan secara konsisten tanpa perlu bergantung kepada sumbangan derma semata-mata.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, proram ini juga dapat membantu ekosistem sosioekonomi veteran secara keseluruhannya sama ada secara individu, persatuan-persatuan veteran serta koperasi-koperasi yang diselia oleh veteran ATM.

Zambery Jefry menjelaskan, program ini pada dasarnya diinspirasikan daripada Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kerajaan yang memfokuskan kepada menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40.

“Pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian terutamanya melalui beberapa inisiatif IPR,

“Khusus bagi program ini, ianya berpandukan kepada IPR – Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang melibatkan pengusaha mesin menjual (Vending Machine) dengan veteran ATM akan terlibat sebagai pengusaha vending machine secara sewaan dengan kadar sewaan yang lebih kompetetif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program My Heroes Vending Machine di KD SRI GOMBAK, hari ini.

Program dianjurkan Koperasi Saudagar Veteran Berhad (KOSAVET) ini diwujudkan hasil pelaksanaan program sosioekonomi oleh Persatuan Veteran TLDM Cawangan Kuala Lumpur (PVTLDMCKL).

Antara peserta dari wakil-wakil Persatuan-persatuan Veteran ATM di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor yang hadir Majlis Pelancaran Program My Heroes Vending Machine di KD SRI GOMBAK, hari ini. Foto: JHEV ATM

Ia telah dihadiri oleh seramai 200 peserta termasuk agensi-agensi berkaitan dan juga wakil-wakil Persatuan-persatuan Veteran ATM di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor.

Mengulas lanjut, beliau menyeru para veteran ATM yang hadir untuk memanfaatkan peluang ini dengan mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas sama ada daripada pihak KOSAVET mahupun daripada agensi-agensi yang hadir ini.

“Tidak dinafikan yang keupayaan program ini untuk menjadi penyumbang dana kepada persatuan-persatuan akan dapat memastikan semua persatuan berkenaan mempunyai dana yang kukuh untuk melaksanakan aktiviti kebajikan persatuan veteran masing-masing,

“Apatah lagi ianya akan turut dimanfaatkan oleh ahli-ahli terutamnya sebagai platform memasarkan produk usahawan veteran yang bersesuaian,” ujarnya lagi.

Program My Heroes Vending Machine ini telah digerakkan oleh KOSAVET sebuah koperasi yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 selepas berjaya menganjurkan Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022.

KOSAVET dilahirkan dan dianggotai oleh veteran-veteran ATM sebagai wadah baru penganjuran aktiviti sosioekonomi Veteran ATM, merentasi semua peringkat veteran ATM tanpa mengira perkhidmatan dan batasan negeri.

Antara insiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh KOSAVET bukan sahaja untuk veteran dan persatuan veteran seperti program My Heroes Vending Machine ini tetapi juga terdapat pelbagai insiatif khusus bersama kerajaan negeri serta koperasi-koperasi selian veteran ATM.-airtimes.my

#pertahanan #JHEVATM #airtimes #veteranATM

Related Articles

Leave a Reply