Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia teruskan kerjasama dengan China, banteras aktiviti keganasan dan jenayah antarabangsa

Malaysia teruskan kerjasama dengan China, banteras aktiviti keganasan dan jenayah antarabangsa

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 JUN – Malaysia dan China meterai pelanjutan perjanjian kerjasama untuk membanteras jenayah rentas sempadan.

Perjanjian kerjasama ini berkuat kuasa sehingga tahun 2034.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut beliau, pelanjutan Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia Dengan Republik Rakyat China merupakan hasil muafakat dan keputusan daripada Mesyuarat Kumpulan Kerjasama antara kedua-dua negara yang berlangsung di Beijing.

“Perjanjian ini merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar,” katanya.

Beliau menambah, Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia – Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan itu turut menyatakan komitmen kedua-dua negara dalam isu keselamatan, ekonomi dan sosial.

“Kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN,

“Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah turut akan memanfaatkan negara serantau dan global,” kata kenyataan itu.

Pada masa yang sama, Malaysia dan China bersepakat untuk mempercepatkan proses memuktamad beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti dalam perihal keimigresenan serta ekstradisi.

“Mesyuarat ini turut memperaku kerjasama erat sedia ada antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dan berikrar untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih intensif selaras dengan status

hubungan komprehensif dan strategik Malaysia – Republik Rakyat China,

“Hal ini termasuklah perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai,” jelas Menteri Dalam Negeri.

Beliau sedang mengetuai delegasi Kementerian Dalam Negeri dalam lawatan kerja di Republik Rakyat

China bermula sejak 5 Jun lalu. Lawatan tersebut dijangka berakhir pada 10 Jun ini. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Keselamatan #China

Related Articles

Leave a Reply