Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen Sabah hantar pulang 417 PATI Filipina ke negara asal

Imigresen Sabah hantar pulang 417 PATI Filipina ke negara asal

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 30 MEI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah menghantar pulang seramai 417 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina ke negara asal melalui jalan laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan, pada Rabu.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI yang dihantar adalah yang telah ditahan di Depot Imigresen di Sandakan.

Menurutnya, Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin itu membabitkan 349 tahanan lelaki, 41 wanita serta 27 kanak-kanak yang kesemua berumur lingkungan 1 bulan hingga 66 tahun.

“Kesemua tahanan tersebut telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,

“Hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh hampir 5 bulan ini seramai 2,437 tahanan Filipina dihantar pulang ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan, selain pemindahan PATI yang selesai menjalani proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal.-airtimes.my

#PATI #Malaysia #Filipina #JIM #airtimes #keselamatan

Related Articles

Leave a Reply