Home Pertahanan dan Keselamatan Suasana hiba iringi penghantaran pulang jenazah Sarjan Faridah

Suasana hiba iringi penghantaran pulang jenazah Sarjan Faridah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 MEI – Jenazah anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia Sabtu lalu sudah diterbangkan pulang ke tanah air, petang semalam.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, pesawat membawa Faridah, 39, berlepas dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut pada 12.05 tengahari waktu Lubnan atau 5.05 petang waktu Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi urusan pengebumian di kampung halaman Allahyarhamah di Pendang, Kedah.

Terdahulu, majlis penghormatan ke atas Allahyarhamah Sarjan Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut, Lubnan.

Majlis itu dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

“Ketibaan jenazah Allahyarhamah turut disambut Kontinjen MALBATT 850-11 dan suasana hiba dirasakan apabila jenazah diturunkan daripada van jenazah dan diusung masuk,

“Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL,” jelas MK AB dalam hantaran di media sosialnya.

Menurut MK AB, upacara itu dimulakan dengan pengurniaan pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) kepada Allahyarhamah.

“Lazaro kemudiannya meletakkan pingat PBB sebagai pengiktirafan diatas pengorbanan Allahyarhamah sepanjang berkhidmat di bawah panji-panji PBB dan disusuli dengan Ahmad Saadeh, wakil LAF meletakkan pingat Lubnan sebagai tanda penghargaan dari Kerajaan Lubnan,

“Upacara diteruskan dengan meletakkan kalungan bunga dimulakan oleh Komander UNIFIL dan disusuli Duta Besar Malaysia ke Lubnan, wakil LAF, Komander Sektor Barat dan Komander MALBATT.Suasana di medan bertukar hening dan pilu seketika semasa tiupan 𝘭𝘢𝘴𝘵 𝘱𝘰𝘴𝘵 sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Sarjan Faridah,” ujarnya lagi.

Tambah MK AB, upacara kemudiannya diakhiri dengan bendera UNIFIL dilipat oleh anggota MALBATT dan doa dibacakan sebelum keranda Allahyarhamah, yang dilitupi Jalur Gemilang, diusung keluar dari medan dan dibawa ke tempat penyimpanan kargo untuk diterbangkan ke Malaysia.

Terdahulu, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, Allahyarhamah rebah dan tidak sedarkan diri ketika turun dari bas di Kem Marakah, kira-kira jam 7.25 pagi waktu Malaysia.

Allahyarhamah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, ketika itu baru kembali ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia. -airtimes.my

#Malbatt #Lubnan #Malaysia #SjnFaridah #ATM

Related Articles

Leave a Reply