Home Pertahanan dan Keselamatan DSA 2024: Malaysia tidak campur tangan urusan perniagaan syarikat global – Mohamed Khaled

DSA 2024: Malaysia tidak campur tangan urusan perniagaan syarikat global – Mohamed Khaled

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

Malah katanya, hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan.

“Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan,

“Ia membolehkan Kerajaan dari pelbagai negara dan para pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi selepas segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pameran itu juga tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

Sebaliknya jelasnya, ia dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” ujarnya lagi.

Tambahnya, DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Malah katanya, Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya.

“MINDEF menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia,

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia,

“MINDEF sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#airtimes #pertahanan #DSA2024 #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply