Home Pertahanan dan Keselamatan DSA 2024: Medan syarikat tempatan rebut peluang pamer keupayaan

DSA 2024: Medan syarikat tempatan rebut peluang pamer keupayaan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Syarikat pertahanan tempatan perlu merebut peluang di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pameran DSA dan NATSEC 2024 memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan negara.

Sehubungan itu, ujarnya, syarikat pertahanan tempatan perlu menonjolkan keupayaan dan kepakaran masing-masing.

“Biarkan pavilion anda berdiri sebagai mercu tanda kecemerlangan, menyerlahkan bukan sahaja kehebatan teknologi tetapi juga komitmen terhadap kerjasama dan perkongsian,

“Saya katakan kepada anda Carpe Diem. Rebutlah peluang ini untuk mempamerkan kebolehan dan inovasi kita di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata, penganjuran DSA dan NATSEC bukan sahaja sangat penting dalam membuka ruang buat semua pihak bertemu dan bersidang, malah Malaysia menjadi rakan kongsi dalam usaha kolektif untuk menangani tekanan pertahanan dan cabaran berkaitan keselamatan masa kini.

Ujarnya, kehadiran peserta yang besar dari pelbagai negara di seluruh dunia membuktikan kesungguhan bersama dengan Malaysia menjadikan dunia yang lebih selamat dan masa depan berdaya tahan.

“Pertemuan dan perbincangan kerjasama erat dalam pelbagai aspek keselamatan pertahanan, ia merupakan satu perkongsian baik yang boleh diterjemahkan demi keselamatan negara,

“Dalam tempoh 3 hari akan datang bagi penganjuran program ini, perkongsian dan pertukaran maklumat mampu menjalin perkongsian yang melampaui sempadan.

“Ini seharusnya merangsang tekad kolektif negara untuk menghadapi dan mengatasi kerumitan pertahanan moden serta landskap keselamatan,” ujarnya lagi.

Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini disertai 1,324 syarikat pertahanan dan keselamatan membabitkan 60 negara di dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.

Antara syarikat gergasi dunia yang menyertai pameran selama 4 hari itu adalah Airbus Group, BAE System, Beretta Defence Techonologies (BDT), EDGE, Leonardo, MBDA dan Sarsilmaz Silah Sanayi (Turkish Industry Association).-airtimes.my

#pertahanan #DSA #keselamatan #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply