Home Teknologi Pertahanan Tejas dipilih gantikan 100 pesawat pejuang usang India era Soviet

Tejas dipilih gantikan 100 pesawat pejuang usang India era Soviet

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 15 APRIL –  India secara rasmi memutuskan untuk memperoleh 97 pesawat pejuang Tejas Mk1 membabitkan perbelanjaan berbilion dolar.

Perolehan ini menjadikan Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang juga peneraju dalam bidang kejuruteraan aeronautik bakal menerima kontrak terbesar.

Dijangkakan kontrak sebenar bakal diperincikan dalam tempoh tiga bulan.

Sejak tahun lalu Tentera Udara India (IAF) dikatakan sedang mempertimbangkan pesanan besar kira-kira 100 pesawat pejuang.

Perolehan besar ini untuk menggantikan secara berperingkat-peringkat pesawat-pesawat berusia

buatan era Soviet termasuk MiG-21, MiG-23 dan MiG-27.

Ketiga-tiga pesawat generasi terdahulu ini telah melebihi tempoh hayat perkhidmatan berkesannya justeru penggantian adalah diperlukan.

Program Tejas mendapat sokongan padu daripada New Delhi sejajar dengan inisiatif ‘Made in India’ iaitumeningkatkan pengeluaran tempatan khususnya dalam kelengkapan pertahanan.

Disebabkan itu juga syarikat asing yang ingin untuk memasarkan produk pertahanan ke India perlu mematuhi program ini yang mewajibkan lebih separuh daripada komponen yang diperlukan dikeluarkan secara tempatan.

Dalam hal ini, Presiden India, Narendra Modi telah memberi sokongan secara terbuka kepada program pesawat pejuang Tejas.

India yang merupakan kuasa udara keempat terkuat di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Israel memiliki kira-kira 1,500 buah pesawat termasuk 270 Sukhoi SU-30MKI, 65 buah MiG-29, 36 pesawat Rafale, 45 buah Mirage 2000 dan 100 MiG-21.

Tejas yang dikelaskan sebagai pesawat tempur generasi keempat telah meletakkan India dalam kelab eksklusif pengeluar pesawat pejuang yang mana teknologi kejuruteraannya bukan dikuasai oleh banyak negara.

Sebagai perbandingan, AS adalah negara pertama membina pesawat tempur generasi keempat iaitu F-16 dan F-15 pada akhir tahun 1970-an, manakala China memiliki teknologi sama pada tahun 2000.

Gabungan teknologi barat dan tempatan menyaksikan ramai dalam kalangan pemerhati pertahanan luar menyifatkan Tejas sebagai sebuah pesawat tempur ringan yang lebih baik berbanding pesawat pesaing buatan China.

Disebabkan ia projek nasional, maka IAF menjadi pengguna pertama pesawat HAL Tejas Mk1 sejak 2016 sehinggalah ia menerima status layak untuk beroperasi lima tahun lalu.

Ketika ini IAF mengoperasikan dua skuadron Tejas.

Menariknya, status operasional Tejas diperoleh tidak lama sebelum pesawat itu membuat penampilan sulung pada pertunjukan udara antarabangsa iaitu semasa Pameran Aerongkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019.

Tejas bagaimana pun tidak berjaya memikat Malaysia dalam persaingan untuk mendapatkan kontrak pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ini namun tidak menghalang India untuk mencuba memasarkan Tejas kepada negara pengguna lain apabila dilihat agresif untuk mencari pembeli.

Buktinya, Tejas berani bersaing dengan pesawat F-16 untuk perolehan pesawat tempur Argentina.

Walaupun gagal, setidak-setidaknya India dengan Tejas telah meletakkan petunjuk yang jelas tentang aspirasi untuk pesawat itu ke pasaran global. – airtimes.my

#AirTimes #India #Tejas #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply