Home Pertahanan dan Keselamatan Cubaan curi besi buruk di perairan Johor, 5 warga Indonesia ditahan

Cubaan curi besi buruk di perairan Johor, 5 warga Indonesia ditahan

by Muaz Rizqi

KOTA TINGGI, 15 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Tanjung Sedili telah menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran bersama 5 orang suspek yang disyaki pencuri besi buruk di perairan Johor Timur, pagi semalam.

Pemangku Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, Pusat Operasi APMM Tanjung Sedili telah menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada jam 10.45 pagi. Aduan tersebut berkenaan 5 suspek telah menaiki sebuah bot tunda Bongawan 9 bersama barge Hexagro 9 beserta muatan besi buruk dalam perjalanan dari Labuan menuju Pelabuhan Klang.

Mohd Najib berkata, 5 individu tersebut disyaki cuba mencuri muatan barge pada kedudukan 3.8 batu nautika di selatan Tanjung Penyusop.

“Sejurus menerima aduan, sebuah bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan diatur gerak ke lokasi kejadian,

“Menyedari kehadiran anggota APMM, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya dipintas dan berjaya ditahan pada pukul 11.50 pagi di kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop”, katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga Indonesia berusia antara 31 hingga 53 tahun. Mereka kemudiannya telah dibawa ke Zon APMM Tanjung Sedili bagi tindakan lanjut.

“Berdasarkan kejadian yang berlaku, APMM akan mempertingkatkan lagi operasi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya di kawasan sempadan perairan negara,” katanya.

Menurut Mohd Najib, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk, jika didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM4,000.

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk yang mana jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM4 ribu. Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang boleh dipenjara sehingga 5 tahun atau denda sehingga RM10 ribu serta boleh dikenakan 6 sebatan,

“Modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini adalah menyasarkan bot atau kapal yang bergerak perlahan”, tambahnya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kesemua pengusaha kapal untuk lebih berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghindari kejadian seumpama ini berlaku di masa hadapan. Dinasihatkan agar mengaktifkan Ships Automatic Identification System (AIS), menambah jumlah petugas pemerhati kapal, berjaga-jaga dengan kehadiran bot yang mencurigakan serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan.

 

#Indonesia #TanjungSedili #APMM #Johor

Related Articles

Leave a Reply