Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota Tentera Darat redah 10 kilometer bantu padam kebakaran di Sarawak

Anggota Tentera Darat redah 10 kilometer bantu padam kebakaran di Sarawak

by M.Daim

BARIO, 15 APR – Jarak yang jauh tidak menghalang usaha anggota Tentera Darat Malaysia membantu operasi pemadaman kebakaran di Bario, Sarawak.

Pihak Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (MK 9 Bgd)  dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya menyatakan sekumpulan anggota tentera dari Batalion Keenam Rejimen Sempadan (6 RS) telah diaturgerak bagi membantu memadamkan kebakaran rumah.

Menurutnya, trup 6 RS yang diketuai Leftenan Mohd Fathi Akmal Mohd Zaid bersama 20 anggota telah menempuh perjalanan sejauh 10 kilometer dari Pos Bario sebaik sahaja menerima panggilan bantuan dari Ketua Kampung Pa’ Umor.

“MK 9 Bgd mengaturgerakkan Trup 6 RS bagi memadamkan kebakaran rumah Datuk Gerawat Gala, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Mulu di Kampung Pa’ Umor, Bario,

“Dengan adanya kerjasama antara Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarela Bario serta penduduk setempat, kebakaran telah berjaya dipadam tanpa sebarang kecederaan jiwa dilaporkan.

“Kepantasan atur gerak ini membuktikan trup Tentera Darat Malaysia sebilang masa bersiap sedia dan terus komited dalam melaksanakan apa jua saja penugasan bagi membantu Pihak Berkuasa Awam walaupun dalam operasi mengawal keselamatan persempadanan negara,” katanya.

Menurut MK 9 Bgd, kejadian itu berlaku pada 14 April lalu.

Tambahnya, selain memadam kebakaran, 9 RS turut bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi melaksanakan siasatan kebakaran. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #9Bgd #TenteraDarat

Related Articles

Leave a Reply