Home Pertahanan dan Keselamatan Turkiye mahu tingkatkan kerjasama perdagangan dan pertahanan dengan Malaysia

Turkiye mahu tingkatkan kerjasama perdagangan dan pertahanan dengan Malaysia

by M.Daim

PUTRAJAYA, 11 APR – Presiden Turkiye, Erdogan telah menzahirkan harapan agar hubungan bilateral dengan Malaysia dapat dipertingkatkan terutamanya dalam sektor perdagangan dan pertahanan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima panggilan telefon dari pemimpin Turkiye itu.

“Kami berbalas ucapan Eid Mubarak dan mendoakan agar masing-masing terus diberi kesihatan yang baik untuk memimpin negara,

“Presiden Erdoğan turut menzahirkan harapan agar hubungan antara kedua-dua negara dapat diperhebat terutama dalam bidang perdagangan dan pertahanan,

“Saya juga menggunakan peluang ini untuk sekali lagi mengundang Presiden Erdoğan untuk ke Malaysia,” kata Anwar Ibrahim di akaun media sosial rasmi beliau.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Palestin.

“Saya nyatakan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan,

“Malaysia akan terus komited menyuarakan pendirian tegas negara mengenai nasib rakyat Palestin di pentas dunia.,” kata Anwar Ibrahim.

Hubungan perdagangan Malaysia dan Turkiye telah terjalin sekian lama. Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara telah dilaksanakan semenjak 2015.  Perjanjian itu merupakan yang pertama dilaksanakan oleh Turkiye dengan negara anggota ASEAN.

Pada tahun 2022, hubungan dagangan kedua-dua negara telah mencecah sebanyak US$4.7 bilion.

Malaysia, sebagai  antara rakan dagang terbesar Turkiye telah mengeksport produk sawit, pakaian, getah, dan elektronik.

Sementara itu, Malaysia telah mengimport aset pertahanan, kenderaan, alat ganti, mesin dan beberapa barangan lain dari Turkiye.

Penglibatan Turkiye dalam corak aset pertahanan negara dapat dilihat melalui penggunaan beberapa aset tempur oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Ini terutamanya dengan melihat penggunaan kenderaan tempur ACV300 Adnan dan AV8 yang merupakan hasil kerjasama FNSS Savunma Sistemleri A.Ş dengan DRB-HICOM Defence.

Selain itu, Malaysia telah memilih untuk menggunakan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dari Turkish Aerospace Industries (TAI) ANKA. Malah, Kementerian Pertahanan Malaysia baru-baru ini menyatakan perolehan Littoral Mission Ship Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah dari STM. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Turkiye #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply