Home Pertahanan dan Keselamatan Pegawai kanan PDRM bertukar, Rosman dilantik Timbalan Komander 69 Komando

Pegawai kanan PDRM bertukar, Rosman dilantik Timbalan Komander 69 Komando

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia melakukan pertukaran membabitkan beberapa pegawai kanan dalam pasukan tersebut.

Antara yang terbabit dalam pertukaran itu ialah Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), JKDNKA Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosman Kasman.

Beliau kini dilantik sebagai Timbalan Komander 69 Komando di Ulu Kinta, Perak.

Penyandang sebelumnya, ACP Rosmadi Rosli pula bertukar apabila dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Staff Siasatan Khas / Teknikal ESSCOM Kementerian Dalam Negeri.

ACP Syed Ahmad Tajuddin Syed Mohamed dilantik sebagai Timbalan Komander FRU yang mana sebelumnya beliau merupakan Timbalan Ketua Staff Siasatan Khas / Teknikal ESSCOM.

Turut bertukar ialah ACP Zaman Shah Omar setelah dilantik menjadi Ketua Operasi Penerbangan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman dengan sandaran jawatan Timbalan Komander PGU.

Sebelum ini Zaman Shah merupakan Ketua Juruterbang PGU Bukit Aman.

Sementara itu, pelantikan Rosman sebagai Timbalan Komander 69 Komando umpama sirih pulang ke gagang.

Sepanjang tempoh hampir tiga tahun bersama FRU, Rosman bersama kepimpinan kanan pasukan itu telah melakukan beberapa perubahan khususnya memperkenalkan kemahiran baharu.

Ini sejajar dengan dimensi baharu FRU sebagai pasukan pelbagai peranan dan bukan semata-mata untuk tugas ketenteraan awam.

Antaranya ialah mengadakan Kursus Asas Selam dengan kerjasama penuh daripada pihak Pusat Latihan Pasukan Polis Marin (PULAMAR).

Ia menawarkan pengetahuan secara asas kepada anggota-anggota FRU yang berminat supaya mempunyai kemahiran untuk terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penyelamatan mangsa di air.

Dua tahun lalu, tiga pegawai dan 25 anggota FRU menamatkan Kursus Asas Taktikal Payung Terjun di bawah kendalian Cawangan Latihan Para 69 Komando.

Kursus ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila merupakan kali pertama dikelolakan bagi anggota bukan pasukan khas PDRM.

Seterusnya ialah kursus asas marksman bagi menajamkan lagi kemahiran sebagai penembak hendap bagi pegawai dan anggota terpilih.

Rosman sebelum itu adalah Pegawai Pemerintahan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq yang mana semasa memegang jawatan tersebut berlaku insiden serang hendap melibatkan dua anggota di sempadan Padang Besar, Perlis.

Pada 24 November 2021, Baharuddin Ramli  54, yang pada ketika itu berpangkat Koperal (Kpl) terkorban manakala rakannya, Kpl Norihan Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan TS9.

Semasa mengetuai Bn 3 Senoi Praaq, Rosman telah mempelbagaikan kemahiran tempur kepada anggota platun penjejak atau platun tracker.

Hanya batalion Senoi Praaq mempunyai platun penjejak dalam PGA sesuai dengan kemahiran anggotanya yang merupakan masyarakat Orang Asli. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply