Home Pertahanan dan Keselamatan Komando temui objek asing disyaki serpihan roket

Komando temui objek asing disyaki serpihan roket

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8  MAC – Satu objek asing yang disyaki serpihan roket telah ditemui di Kem Iskandar, Mersing.

Objek telah ditemui oleh anggota 21 Gerup Gerak Khas (21GGK) semasa melaksanakan aktiviti rutin dan rondaan keselamatan kem.

Penemuan objek tersebut telah dimaklumkan oleh Panglima 21GGK, Mejar Jeneral Adi Redzuan kepada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sejurus selepas menerima butiran asas.

Air Times difahamkan objek tersebut ditemui pada 14 Februari 2024 lalu.

Material pada objek terbabit menunjukkan ianya bukan dari kapal dan tidak mempunyai kaitan dengan industri marin Foto: M Daim/Air Times

Ketua Pengarah MYSA Geospatialist Hj Azlikamil Napiah telah memaklumkan penemuan tersebut ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk tindakan selanjutnya dibawah koordinasi Bahagian Penguasa Angkasa.

Satu tim penyiasatan objek yang terdiri daripada 2 pegawai Agensi Angkasa Malaysia, seorang pegawai dari  Bahagian Penguasa Angkasa, 3 orang Pegawai dari Jabatan Tenaga Atom dan 3 pegawai dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah dihantar bagi melakukan penyiasatan

Antara tulisan Cina yang didapati pada serpihan objek angkasa yang ditemui oleh anggota 21 GKK baru-baru ini. Foto: M Daim/Air Times

Pasukan Penyiasatan yang diketuai oleh Brigedier Jeneral Datuk Abd Razak Sipit memulakan siasatan menentusahkan mengikut garis panduan prosedur sedia ada pada 26 Feb 2024.

“Tim Penyiasatan memulakan siasatan ke atas objek yang didahului oleh Jabatan Tenaga Atom bagi mengesan sekiranya ada kewujudan radiasi berbahaya sebelum penelitian keseluruhan dibuat,

“Jabatan Tenaga Atom kemudiannya mengesahkan bahawa tiada kehadiran radiasi pada objek tersebut,” kata Abd Razak kepada Air Times.

Menurut beliau, pegawai Maritim Malaysia dari pasukan siasatan juga menyatakan “objek tersebut bukan dari kapal laut atau industri marin”.

“Ini berdasarkan material objek dan ianya bukan dihanyutkan air laut kerana dengan berat melebihi 100 kg serta tidak terapung,

“Pegawai MYSA mengesahkan ianya bukan dari serpihan satelit berdasarkan beberapa bahan komponen yang tidak boleh digunakan untuk membina satelit dan ianya juga bukan serpihan dari kapal terbang,” katanya.

Air Times secara eksklusif melihat sendiri objek yang ditemui oleh komando baru-baru ini. Foto: M Daim/Air Times

Air Times yang diberikan peluang untuk melakukan liputan eksklusif turut melihat sendiri serpihan objek tersebut.

Terdapat beberapa tulisan Cina ditemui pada objek tersebut. Ada diantaranya membawa maksud “liang udara” serta “port gelombang dan pengukuran”.

“Tim Penyiasatan seterusnya membuka beberapa komponen dan beberapa sampel diambil untuk dibuat analisa kimia bagi menentusahkan serpihan objek tersebut,” kata Ketua Pasukan Penyiasatan.

Masyarakat diseru untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka menemui objek yang dipercayai serpihan dari angkasa lepas. Foto: M Daim/Air Times

Beliau menambah, tindakan Panglima 21 GGK memanjangkan laporan ke Agensi Angkasa Malaysa (MYSA) merupakan langkah yang tepat.

“Ia perlu dicontohi oleh mana-mana agensi kerajaan atau awam,” tegasnya.

Malaysia sebelum ini dikejutkan dengan penemuan objek dipercayai bahagian roket di Sarawak pada tahun 2022. Ketika kejadian, penduduk tempatan telah melaporkan kepada pihak polis.

Abd Razak menyarankan kepada rakyat Malaysia untuk segera melaporkan kepada MYSA sekiranya menemui objek-objek asing yang disyaki serpihan roket atau satelit.

“Ini bagi menjamin keselamatan kerana dikhuatiri terdapat radiasi-radiasi merbahaya dari objek asing tersebut,” katanya.

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Johor

Related Articles

Leave a Reply