TALINN, 14 FEB – Pihak perisikan Estonia menyuarakan amaran berhubung peningkatan kekuatan tentera Rusia di kawasan sempadan negara-negara NATO.
Perkara tersebut disuarakan oleh Kaupo Rosin, Pengarah Perkhidmatan Perisikan Asing dan Estonia yang menjelaskan terdapat trend peningkatan kehadiran tentera Rusia di sempadan negara-negara Baltik (Estonia, Latvia, dan Lithuania) serta Finland.
Menurut beliau, Moskow pada ketika ini dilihat tidak mempunyai sebarang niat untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap NATO tetapi perkara ini memberikan gambaran konflik yang akan berlaku dalam masa 10 tahun.
“Rusia merancang untuk meningkatkan pasukan tentera di sepanjang sempadan negara Baltik dan juga sempadan Finland,
“Berkemungkinan besar kita akan melihat peningkatan tentera, kenderaan berperisai, kereta kebal, sistem artileri dalam beberapa tahun akan datang,” katanya semasa melancarkan Laporan Ancaman Keselamatan Estonia.
Air Times meneliti laporan yang dikeluarkan oleh pihak Talinn yang menyatakan terdapat peningkatan kehadiran tentera Rusia di Leningrad dan Pskov. Kedua-dua kawasan ini adalah terletak berhampiran sempadan Estonia-Rusia.
“Kekuatan anggota tentera darat dan askar payung terjun berhampiran Estonia mungkin telah meningkat 2 kali ganda berbanding 19,000 orang yang direkodkan sebelum 24 Februari 2022,
“Keupayaan unit-unit ini untuk mencapai kekuatan tempur adalah bergantung kepada keupayaan Moskow untuk merekrut, melatih dan mengekalkan anggota perkhidmatan yang dikontrak,” kata laporan itu.
Tambahnya, reformasi institusi ketenteraan Rusia bergantung penuh dengan situasi peperangan di Ukraine.
“Sekiranya Rusia berjaya melaksanakan reformasi, NATO akan menghadapi senario serangan seperti yang dilakukan pada era Soviet dalam dekad yang akan datang.
“Tentera ini mungkin mempunyai kemampuan teknologi lebih rendah daripada pasukan pertahanan sekutu NATO di kebanyakan kawasan, kecuali peperangan elektronik dan keupayaan serangan jarak jauh,” kata laporan itu.
Tambahnya, potensi kekuatan ketenteraan Rusia akan menjadi penting, kerana saiznya, kuasa tembakan (termasuk artileri dan banyak lagi dron tempur murah), pengalaman tempur dan tentera simpanan.
“Untuk bertahan dalam menghadapi kemungkinan serangan konvensional daripada tentera sedemikian akan memerlukan pasukan pertahanan dan industri pertahanan bersekutu yang lebih bersedia, berkebolehan serta lengkap,
“Perkara ini perlu dipenuhi mulai sekarang,” jelas laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan perkara ini akan menjadi ancaman kepada Estonia dan NATO.
“Postur, potensi ketenteraan dan ketenteraan yang semakin meningkat dengan jelas telah memperkukuhkan matlamat Rusia untuk jelas Rusia menghadapi konfrontasi jangka panjang dengan Barat,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Global #NATO #Rusia