Home SemasaGlobal Hubungan dagangan dan pendamaian adalah senjata berkesan terhadap Israel – penganalisis Arab

Hubungan dagangan dan pendamaian adalah senjata berkesan terhadap Israel – penganalisis Arab

by M.Daim

RIYADH, 14 FEB – Kekuatan ekonomi dan kuasa beli merupakan kelebihan yang terdapat pada negara-negara Arab dalam menghadapi konflik dengan Israel.

Perkara tersebut disuarakan oleh penulis dan juga penganalisis Arab, Fahd Ibrahim Al-Dughaither.

Menurut beliau, pendamaian dan membangunkan hubungan ekonomi dengan Israel merupakan salah satu jalan yang baik untuk memberikan tekanan kepada Tel Aviv.

Beliau dalam artikel bertajuk “Adakah Lebih Baik Menjalin Hubungan dengan Musuh?” yang disiarkan oleh akhbar Saudi Okaz menjelaskan hubungan ekonomi boleh menjadi cara untuk mempengaruhi dasar Israel tanpa menggunakan kekerasan.

“Bila dan bagaimana perdamaian dengan musuh menjadi bermanfaat, atau [sekurang-kurangnya] kurang berbahaya, dan pastinya tidak melibatkan banyak nyawa dan [kekalahan] ketenteraan?,

“Mari kita periksa perkara ini di rantau kita, terutamanya dalam konteks Arab lawan Israel,

“Selama tujuh dekad dalam sejarah kita, terdapat peperangan yang dahsyat, dan perjanjian damai yang tidak bertahan lama kerana kurangnya kepercayaan antara pihak dan ketiadaan sebarang perkara yang boleh menjadi bahan rundingan,” kata Fahd.

Menurut beliau, sejarah peperangan dengan Israel menunjukkan tiada sebarang kemenangan di pihak Arab kecuali Perang 1973 (Perang Yom Kippur).

“Perang ini memperlihatkan Mesir berada dalam kedudukan yang kuat dan mempunyai pemimpin yang berani, Anwar Sadat,

“Anwar Sadat akhirnya berjaya mengembalikan kesemua tanah Mesir yang dijajah melalui rundingan,” kata penganalisis yang merujuk kepada Perjanjian Damai yang dimeterai pada tahun 1979.

Melalui perjanjian damai tersebut, Mesir telah mendapatkan semula kawasan Semenanjung Sinai dari Israel.

Penulis dan penganalisis Arab, Fahd Ibrahim Al-Dughaither.

Jelas Fahd, situasi adalah berbeza dengan Hafez Al-Assad, Presiden Syria pada ketika itu. Menurutnya, Hafez mempunyai kelebihan yang sama seperti Anwar tetapi dilihat begitu “teragak-agak di saat akhir”.

“Dan Bukit Golan masih lagi di bawah penguasaan Israel sehingga ke hari ini,” penganalisis itu.

Fahd menambah kekuatan negara-negara Arab pada hari ini adalah terletak pada kuasa ekonomi. Beliau menyatakan kontrak kerajaan dengan syarikat asing adalah antara nilai tambah kepada kuasa beli negara-negara Arab.

Beliau menjelaskan Israel tidak mendapat tekanan ekonomi dari negara Arab. Ini kerana Tel Aviv mempunyai kekuatan mempunyai industri, teknologi canggih dan hasil pertanian tetapi tidak dipasarkan kepada negara Arab.

“Sebagai orang Arab dan Muslim, kita mungkin mendapat manfaat jika mula bertanya [soalan berikut]: Selagi Israel wujud, bagaimanakah kita boleh mengurangkan jurang ketenteraan antara ia dan kita dengan cara ekonomi?

“Bagaimanakah sidang kemuncak Arab dan Muslim boleh mengenakan sekatan realistik ke atas Israel yang bukan [semata-mata] kutukan dan kritikan?” katanya.

Jelas Fahd, tekanan ekonomi merupakan satu perkara yang mustahak. Arab Saudi sebelum ini telah berjaya mencapai kejayaan tekanan ekonomi. Beliau merujuk kepada tekanan ekonomi oleh Riyadh terhadap Turkiye pada tahun 2018 semasa krisis pembunuhan Jamal Al-Khashoggi di Istanbul.

Tambahnya, langkah boikot tersebut telah menyebabkan kerugian kepada Turkiye apabila dagangan dua hala telah merosot ke paras terendah.

Perang Arab-Israel 1973 membawa implikasi tersendiri dalam konflik di rantau Timur Tengah,

“Perkara ini telah menimbulkan tekanan politik dalaman kepada kerajaan untuk bertindak terhadap punca boikot,

“Akhirnya, kerajaan mereka telah mengambil tindakan. Dagangan telah berjaya dipulihkan dan hubungan dua antara negara tidak terjejas,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Fahd turut menyatakan perkara yang sama boleh dilihat dalam persaingan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China.

“Pertembungan antara kedua-dua negara ini dapat dilihat dengan begitu jelas tetapi mereka masih meneruskan hubungan dan dagangan,

“Adakah kita mendengar mana-mana pemimpin Amerika Syarikat atau China yang menggesa agar hubungan diplomatik diputuskan?” katanya.

Jelas Fahd, kuasa beli pasaran Amerika Syarikat terhadap barangan keluaran China adalah faktor mengapa gesaan tersebut tidak timbul.

Perjanjian damai 1979 menyaksikan pengunduran Israel dari Semenanjung Sinai.

Beliau menambah, keadaan ini amat berbeza dengan Deklarasi Khartoum oleh Liga Arab pada tahun 1967. Deklarasi tersebut menggariskan 3 Tidak terhadap Israel – Tidak ada pendamaian, Tidak ada pengiktirafan dan Tidak ada sebarang rundingan (no peace, no recognition, no negotiation).

Fahd menyatakan, deklarasi tersebut telah menutup peluang negara-negara Arab untuk membentuk kuasa dagangan, industri dan pertanian yang mampu untuk memberikan tekanan terhadap Israel.

“Pilihan ini hanya boleh dilaksanakan jika negara-negara Arab yang kaya, dengan kuasa jual-beli terhadap barangan dan perkhidmatan, memilih untuk bertindak demikian,” ujarnya. – airtimes.my

#AirTimes #global

Related Articles

Leave a Reply