Home Pertahanan dan Keselamatan ATM akan rekrut ‘hackers’, persiap Angkatan Masa Hadapan

ATM akan rekrut ‘hackers’, persiap Angkatan Masa Hadapan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=GrYgT1WB0GE[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan merekrut penggodam komputer atau ‘hackers’ sebagai aset baharu ketenteraan bagi memperkukuh sistem pertahanan negara seiring usaha membangunkan angkatan masa hadapannya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan ini akan memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

“Satu hari nanti kita akan ambil anggota tentera yang pandai dan hebat, yang boleh menjadi ‘hackers’ (penggodam) dan sebagainya. Di luar sana, ramai anak muda yang terlibat dalam e-sport. Jadi, kita mungkin akan kaji relevannya untuk mereka ini diserap masuk (ke dalam ATM),

“Perang masa depan akan lihat dari sistem saja. Itu sebab, kita kena kaji supaya kita tak ketinggalan kerana negara lain terutama Singapura sudah jadikan ini sebagai ketumbukan keempat dalam sistem perkhidmatan tenteranya,

“Singapura sudah ada pasukan (penggodam) dia, lengkap beruniform,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Kick-Off Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, matlamat penubuhan pasukan sedemikian juga dapat memperkukuh sistem kawalan dan pemantauan di perairan dan sempadan negara dari sebarang ancaman penyeludupan.

“Kita berjiran dengan banyak negara dan kita kena lihat dron yang masuk. Kita difahamkan sekarang penyeludup mereka memang pakai dron, dia mahu tahu di mana (pasukan keselamatan), di mana operasi kita, anggota kita, jadi dia tak akan mendarat di kawasan itu,

“Sebab itu mereka masih boleh mendarat (menyeludup) sebab dia (pantau) pakai dron. Jadi bagaimana kita boleh lumpuhkan dron mereka supaya tindakan kita lebih berkesan dari mereka,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau yakin, pendekatan sebegini akan menjadi norma untuk pasukan-pasukan angkatan tentera melakukan proses pengambilan anggota baharunya.

“Malah, ramai penganalisis meramalkan yang pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih melibatkan kecanggihan teknologi seperti ‘unmanned drones’ dan aset yang dikawal secara digital,

“Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ‘big data’ dan pendigitalan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#pertahanan #hacker #ATM #Mindef #airtimes

Related Articles

Leave a Reply